TERKINI :

Friday, September 11, 2015

Gerakan akan terus cabar Enakmen Hudud Kelantan


Gerakan akan terus mencabar Enakmen Hudud Kelantan dengan memberi fokus terhadap permohonannya bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahan undang-udang itu dari segi Perlembagaan.

Pengerusi Biro undnag-undang Pemuda Gerakan Kebangsaan dan penyelaras Pasukan Undang-undang Gerakan Chai Ko Thing berkata parti itu tidak akan berundur daripada mencabar enakmen hudud PAS, yang menurutnya mengandungi kekeliruan.

"Gerakan komited untuk mempertahankan integriti serta kesucian Perlembagaan Persekutuan dan kami tidak akan teragak-agak atau mengubah haluan kami," katanya sambil menjelaskan bahawa parti itu akan menggunakan pelbagai opsyen perundangan yang terdapat dalam undang-undang Malaysia.

"Berpandukan nasihat daripada perunding undang-undang, kami mengambil keputusan untuk tidak akan menarik balik rayuan kami terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Baharu pada 7 Mei tahun ini dan akan menumpukan tenaga kami terhadap permohonan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan pada 8 Mei tahun ini," katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Mahkamah Tinggi membenarkan bantahan awal oleh Kerajaan Kelantan dan menolak cabaran Gerakan terhadap Kanun Jenayah Syariah 11 Kelantan 1993 (Pindaan 2015) atau hudud, yang digubal Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19 Mac tahun ini.

"Bagaimanapun, kami mempunyai kebebasan untuk memfailkan saman baharu di Mahkamah Tinggi pada bila-bila masa," kata Chai.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 17 September sebagai tarikh untuk mendengar permohonan Jabatan Peguam Negara untuk mencelah dalam notis usul Gerakan bagi mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan. – Bernama, 11 September, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/gerakan-akan-terus-cabar-enakmen-hudud-kelantan#sthash.Wl9uWvS8.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...