TERKINI :

Friday, September 11, 2015

'Baju Merah patut tuntut PM berundur'

Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata perhimpunan baju merah yang akan berlangsung pada 16 September sepatutnya menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Zaid berkata, kumpulan itu sepatutnya menuntut sedemikian jika perhimpunan itu benar-benar dijalankan untuk mengembalikan maruah orang Melayu.

“Tuntutan mereka yang pertama mestilah agar Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan. Tiada apa yang boleh mengembalikan maruah orang Melayu selain meminta PM letak jawatan.

“Biarlah timbalannya (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) mengambil alih. Jika ini berlaku, rakyat Malaysia akan mengenang Baju Merah sebagai pejuang sebenar maruah dan integriti Melayu,” kata Zaid.

Dalam tulisan di blog zaid.my itu, bekas menteri hal ehwal undang-undang itu berkata tindakan itu lebih bermakna berbanding seruan “keanak-anakan” yang muncul dari kumpulan itu setakat ini.

Menurut Zaid, perhimpunan yang mendapat sokongan Umno itu setakat ini dilihatnya hanya untuk menunjukkan kekuatan orang Melayu dan memberi amaran kepada golongan Cina dengan berkumpul dan bertempik di jalanan.

“Mereka nampaknya terguris dengan perhimpunan yang sebahagiannya disertai oleh orang Cina dalam BERSIH 4.

“Di mata penganjur perhimpunan misteri baju merah ini, seramai 200,000 atau lebih warga Malaysia yang berhimpun bawah slogan BERSIH 4 berbuat demikian untuk menyerang pemimpin Melayu...,” katanya.

Beliau berpendapat, kumpulan itu berasa demikian kerana timbul pelbagai gesaan agar Najib meletak jawatan atas ekoran pelbagai skandal yang membelit perdana menteri itu.

“Maruah Melayu kononnya diserang kerana beberapa orang peserta BERSIH 4 – yang bodoh – memijak gambar perdana menteri.

“Kedua-dua alasan untuk menganjurkan perhimpunan tersebut adalah keanak-anakan dan kebudak-budakan dan hanya akan menjadi orang Melayu diketawakan oleh masyarakat,” kata Zaid.

Tambahnya, kumpulan baju merah itu juga boleh mencontohi BERSIH dengan menyatakan tuntutan khusus.

Zaid seterusnya mencadangkan empat lagi tuntutan:
  • Batal sekatan keluar negara ke atas peminjam 500,000 peminjam PTPTN yang gagal lunas pinjaman.
  • Turunkan kadar GST kepada tiga peratus agar harga barangan dapat diturunkan demi membendung kos sara hidup.
  • Menjalankan persediaan menghadapi banjir di kawasan negeri orang Melayu.
  • Menyediakan perkhidmatan keretapi laju dari pantai timur ke pantai barat semenanjung.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...