TERKINI :

Friday, September 11, 2015

1MDB: Tempoh enam bulan yang tiada penghujung?

Tuan Ibrahim Tuan Man
SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mempersoalkan mengenai tempoh enam bulan yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan masalah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melalui pelan rasionalisasinya.

Tuan Ibrahim berkata, sehingga kini pelan tersebut hanya ada dalam pemikiran Najib sebagai Menteri Kewangan sahaja.

"Ini bukan kali pertama, Najib berjanji akan menyelesaikan masalah 1MDB di depan Umno.

"Kali pertama Najib merayu diberikan masa 6 bulan ialah pada satu pertemuan tertutup di PWTC tiga bulan lalu iaitu 14 Jun 2015.

"Perkara ini didedahkan oleh Hasan Hamzah, bekas Ketua Bahagian Bagan Batoh kepada media seperti The Malaysian Insider dan The Rakyat Post. Kata Hasan, Najib berjanji masalah 1MDB akan diselesaikan akhir tahun 2015," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim lagi, hampir dua bulan kemudian, pada 1 Ogos 2015 Najib sendiri mengumumkan kerajaan memang mempunyai rancangan untuk mengurangkan beban hutang yang ditanggung 1MDB.

"Sekali lagi, Najib menegaskan beliau memerlukan masa enam bulan untuk memulihkan syarikat itu," katanya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan tempoh sebenar enam bulan yang disebutkan oleh perdana menteri itu.

"Jika dikira daripada rayuan pertama, Najib hanya mempunyai tiga bulan sahaja lagi. Apakah semalam Najib telah menekan butang ‘reset’ dan memulakan semula kiraan tempoh 6 bulan bermula 9 September pula?

Tuan Ibrahim turut meminta Najib menyatakan tarikh khusus untuk menyelesaikan masalah hutang 1MDB.

"... dan jika tidak, apakah beliau akan melepaskan sekurang-kurangnya jawatan Menteri Kewangan daripada portfolio beliau?, " ujarnya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, pihak pengurusan 1MDB juga perlu diberi tempoh, kerana setiap hari yang berlalu akan meningkatkan faedah pinjaman sekali gus menambahkan kerisauan rakyat.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...