TERKINI :

Tuesday, August 4, 2015

Selepas pengesahan RM2.6 bilion, anak MB Johor minta lebih penjelasan

Senarai soalan Akmal Saufi Mohd Khaled disiarkan di laman blog Apanama yang mendesak Datuk Seri Najib Razak menjelaskan status sebenar wang RM2.6 bilion di dalam akaun peribadinya. – Gambar apanama.my, 4 Ogos, 2015.
Akmal Saufi Mohd Khaled, anak menteri besar Johor, hari ini mendesak Datuk Seri Najib Razak membuat penjelasan berhubung RM2.6 bilion yang disahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk ke akaun peribadi perdana menteri sebagai sumbangan derma.

Beliau yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Undang-undang Dan Integriti Parlimen Belia Malaysia mengajukan 15 soalan berhubung wang itu dalam satu kenyataan hari ini.

"Ketika menerima dana sejumlah RM2.6 bilion, adakah anda sedia maklum sejumlah wang memasuki akaun anda?

"Apakah bukti duit tersebut merupakan derma dan bukan duit berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mahupun pihak yang mempunyai transaksi berkaitan 1MDB?" soalnya.

Senarai soalan Akmal itu disiarkan di laman blog Apanama (www.apanama.my) dengan nota berbunyi: "Saya harap semua mengambil maklum sebarang kenyataan yang dikeluarkan saya mengelilingi isu 1MDB dan derma adalah kenyataan saya sendiri".

Semalam, SPRM mengesahkan wang RM2.6 bilion tersebut bukan disalurkan ke akaun Najib daripada 1MDB, tetapi sebaliknya adalah wang derma.

Ia bagaimanapun tidak mendedahkan mengenai penderma itu.

Awal bulan lalu The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan kira-kira AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan di antara agensi kerajaan, bank dan entiti yang berkaitan dengan 1MDB dan berakhir di akaun peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan.

Najib menafikan dakwaan itu dan mendakwa ia konspirasi politik pihak lawan termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi WSJ menegaskan siasatan mereka berlandaskan dokumentasi kukuh.

Akmal, yang juga ketua penerangan Pemuda Umno Johor Bahru itu juga mempersoalkan sama ada penerimaan wang tersebut dimaklumkan kepada kepimpinan tertinggi jika ia benar wang derma.

"Adakah sumbangan tersebut merupakan sumbangan kepada kerajaan, tujuan Umno atau tujuan peribadi?

"Jika duit tersebut adalah sumbangan buat Umno, adakah kepimpinan parti terutamanya Majlis Tertinggi mengetahui tentang derma tersebut?

"Jika Majlis Tertinggi Umno tidak mengetahui, adakah ini bermaksud Umno tidak akan mengetahui kewujudannya jika Najib tidak memaklumkan kewujudannya?" soalnya.

Beliau juga mempersoalkan sama ada seorang penjawat awam boleh menyimpan sejumlah besar wang walaupun ia dikatakan diterima daripada seorang penderma.

"Andai kata derma tersebut merupakan derma peribadi kepada Najib, dan bukan kepada Umno, adakah beliau menerimanya ketika memegang jawatan sebagai salah seorang ahli jemaah menteri?

"Bolehkah seorang menteri atau timbalan perdana menteri atau perdana menteri menerima derma apabila sedang memegang jawatan di dalam kerajaan?" soal lulusan Universiti Islam Antarabangsa berumur 28 tahun itu.

Terdahulu hari ini, bapanya menulis posting di laman Facebook, mengingatkan Umno agar bertindak dan tidak berdiam diri apabila rasuah mula menjadi budaya dalam parti dan jika amanah yang diberikan kepada parti dan pemimpin dikhianati.

Turut dipersoalkan Akmal dalam tulisannya ialah sama ada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengetahui mengenai pergerakan wang tersebut.

"Adakah perlu duit derma tersebut perlu diisytiharkan kepada rakyat dan ahli Kabinet yang lain?

"Adakah Gabenor BNM dan cendekiawannya sedar akan pergerakan duit sejumlah RM2.6 bilion ke dalam negara?

"Adakah LHDN sedar mengenai sejumlah duit yang diterima Najib? Jika ya, adakah Najib membayar sebarang cukai pendapatan berdasarkan nilai duit tersebut?

"Adakah seorang perdana menteri boleh mendapat pengecualian cukai?" soalnya.

Akmal juga mengatakan, jika derma tersebut adalah bagi tujuan kerajaan, mengapa Kementerian Kewangan tidak mengetahui kewujudannya. – 4 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/selepas-pengesahan-rm2.6-bilion-anak-mb-johor-minta-lebih-penjelasan#sthash.dwltLURt.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...