TERKINI :

Wednesday, August 5, 2015

Pasukan khas 1MDB 'bersara' bersama Gani?

Pasukan khas pelbagai agensi yang menyiasat syarikat pelaburan negara 1MDB seperti terhenti tiba-tiba selepas penyingkiran Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara minggu lepas.

Sebelum ini, pasukan itu sentiasa mengemas kini perkembangan siasatan mereka selepas muncul berita menggemparkan terdapat RM2.6 bilion wang dimasukkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak.

Ini diikuti dengan penangkapan berprofil tinggi melibatkan syarikat yang dikaitkan dengan aliran wang itu. Muncul juga spekulasi seperti ada reaksi balas berlaku setelah itu.

Pasukan itu diisi nama-nama besar termasuk Gani, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu bakar, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Bagaimanapun, selepas Gani digantikan dengan peguam negara yang baru pada 27 Julai, tiada lagi kemas kini daripada mereka.

Di pihak SPRM pula, Abu Kassim kini sedang bercuti manakala timbalannya Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berada di luar negara untuk tugas rasmi.

Difahamkan Shukri akan pulang minggu depan tetapi sumber memberitahu beliau akan menyambung dengan cuti selepas itu.
Polis sasar Zeti?

Malaysiakini juga difahamkan bahawa siasatan SPRM pada SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan, menjadi tugasan terakhirnya sebalum bersara.

Abu Kassim dan Mohd Shukri (gambar) juga tiada ketika pegawai kanan suruhanjaya itu disiasat oleh polis bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas dakwaan terlibat aktiviti yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa dokumen penting berkaitan siasatan SPRM telah dirampas.

Walaupun SPRM berikrar meneruskan siasatan pada SRC, difahamkan perkembangan terbaru ini ternyata mengecewakan mereka.

Sementara itu, Zeti juga dipercayai sedang berada di luar negara. Bank Negara bagaimanapun ketika dihubungi enggan mengesahkannya.

Dua anggota parlimen hari ini - Lim Lip Eng and Teo Kok Seong – hari ini menyerahkan surat kepada Bank Negara, mendesak bank pusat itu mengesahkan bahawa Najib pernah mengisytiharkan menerima RM2.6 bilion.

Mereka juga mahu tahu sama ada Zeti tidak berada dalam negara dan diberikan jawapan, Zeti masih bertugas.

Kemampuan Zeti dan Bank Negara menjalankan tanggungjawabnya dalam pasukan khas 1MDB itu menjadi tanda tanya memandangkan beliau sendiri mungkin disiasat polis susulan kebocoran maklumat sulit kewangan.

Pasukan tanpa pengasas?

Bank Negara menafikan penglibatan mereka.

Zeti bagaimanapun dinamakan dalam beberapa blog pro-BN sebagai sosok utama dalam dakwaan konspirasi untuk menjatuhkan Najib.

Pihak-pihak lain yang turut dinamakan sudah dirakamkan kenyataan mereka oleh polis. Dalam masa yang sama, Zeti juga kini dihamburkan dakwaan rasuah.

Sementara itu, walaupun kewujudan pasukan khas itu hanya diketahui orang awam pada 3 Julai, selepas The Wall Street Journal melaporkan aliran wang ke akaun Najib, ia mungkin telah wujud empat tahun lebih awal.

Gani pada perhimpunan bulanan Jabatan Peguam Negara pada Oktober tahun lalu berkata memulakan pasukan khas pada Mac 2011 bagi membantu kerajaan membanteras pelarian cukai kastam, pengubahan wang haram, rasuah dan salah guna subsidi minyak.

Beliau menjelaskan bahawa pasukan itu bukan agensi baru, tetapi kerjasama dengan pegawai-pegawai daripada pelbagai agensi demi membanteras penjenayah antarabangsa.

Walaupun pasukan khas 1MDB berkata Gani dirunding untuk pandangan undang-undang, jelas bahawa memainkan peranan sebagai anggota penting dalamnya sebelum ini.

Dengan semua perkembangan di atas, kemungkinan besar tiada maklumat kemas kini akan diketahui daripada pasukan itu dalam masa terdekat.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...