TERKINI :

Wednesday, August 5, 2015

Pas mesyuarat Sabtu ini tentu tindakan

Harapan Baru
KOTA BHARU - Pas Pusat akan bermesyuarat pada Sabtu ini bagi membincangkan tindakan disiplin yang akan dikenakan terhadap anggota parti itu yang bergiat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Harapan Baru.

Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kepimpinan tertinggi parti telah menerima laporan daripada setiap badan perhubungan negeri berhubung penglibatan anggotanya dalam gerakan itu.

"Kita telah kumpulkan maklumat daripada negeri-negeri dan boleh kata semua negeri telah menghantar laporan secara agak 'terperinci' tentang perkembangan Harapan Baru di negeri masing-masing.

Akan ada keputusan (terhadap anggota parti terlibat Harapan Baru) selepas mesyuarat Pas Pusat 8 haribulan ini," katanya ketika ditemui permberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra di Balai Islam  Lundang di sini, hari ini.

Ditanya mengenai sejauh mana aktiviti Harapan Baru yang cuba melebarkan pengaruhnya di negeri ini, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata ia masih tidak serius.


"Saya tengok pada mata kasar saya tak ada kesan yang besar walaupun kita tak nafikan ada orang-orang yang aktif untuk mengembangkan Harapan Baru dan ada orang Pas yang berminat (untuk menyertai Harapan Baru). Tapi setakat ini pada pengamatan kita, tak serius.

(Tapi) sebelum mereka menjadi parti yang rasmi tidak banyak komen kita boleh buat,"  katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pengisytiharan sumber dana parti sebagaimana yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini, Mohd Amar secara peribadi berpendapat undang-undang itu wajar diikuti oleh mana-mana parti politik di negara ini.

"Bukan setuju, tapi kalau ada undang-undang kita akan patuh, sebab kita terikat dengan undang-undang. Jangan salah faham. Jangan tulis saya setuju pula, itu cerita lain.

Benda ini kena rujuk kepada pimpinan ataslah. Tapi pada kitalah, kita lebih kepada sumbangan kutip derma daripada anggota parti," katanya.

Najib pada Sabtu lepas mencadangkan pengwujudan semula peraturan itu yang bertujuan memastikan parti politik lebih telus bukan hanya kepada anggota parti malah kepada penyokong parti masing-masing.

Cadangan itu pernah dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun ditolak DAP. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...