TERKINI :

Tuesday, August 4, 2015

Netizen guna #derma sindir isu RM2.6 bilion


ISU berkaitan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja menjadi perbualan hangat di kedai-kedai kopi bahkan ada yang menjadikannya bahan 'troll' di media sosial.

Menggunakan #derma, pengguna di laman mikro Twitter dan Facebook yang nyata tidak berpuas hati dengan dapatan siasatan berkaitan dana itu meluahkan perasaan tidak senang di laman sosial masing-masing.

"Ada ke orang #derma dekat aku ni #2.6 bilion. Bank hadkan pengeluaran," tulis pengguna Twitter menggunakan akaun Jyundoo.

Seorang lagi pemilik akaun Twitter menggunakan nama Ira Fazir Ishak mencatat, "patut la dekat Malaysia ramai yang suka minta derma. PM Malaysia suka pun terima #derma".

Pemilik akaun johortilldeath pula secara sinis menulis, "trending minggu ni #derma... derma pada masjid, surau, anak yatim, ibu tunggal, orang miskin, OKU lebih berkat dan afdal..".

Di laman sosial Facebook pula, netizen menyifatkan dana RM2.6 bilion itu sebagai derma dan tiada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai 'lawak'.

Malah ramai berkongsi gambar seorang lelaki menyerupai seorang pengemis yang berada di mesin juruwang automatik (ATM) dengan dialog, "Ya ALLAH! Siapa derma RM2.6 bilion ni? Terima kasih".
Dalam perkembangan terbaharu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Perdana Menteri adalah dana sumbangan penderma dan bukan 1MDB.

SPRM menerusi kenyataan medianya berkata, laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion telah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara.

"Hasil siasatan mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik perdana menteri adalah sumbangan penderma, dan bukannya dari dana 1MDB.

"Bagaimanapun, siasatan berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih berjalan," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...