TERKINI :

Thursday, August 20, 2015

Jentera PAS Kedah siap sedia hadapi pilihan raya

http://1.bp.blogspot.com/-juYGEHJek3o/VbiIk3S4XAI/AAAAAAAAZaQ/j94vd3_xksk/s1600/Fakruddin%2BPAS%2BKedah.jpg
Jentera Pilihan Raya merupakan organisasi penting PAS dalam gerakannya di medan demokrasi di samping dasar, kepimpinan dan perancangan parti. Atas peranan besar itulah, Jabatan Pilihan Raya PAS difungsikan pada setiap masa di semua peringkat parti serta diberi perhatian serius. Ikuti, temubual ringkas Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM bersama Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Kedah, Ustaz Azizan Hamzah berhubung penyusunan dan persiapan jentera menghadapi pilihan raya akan datang.

HARAKAH: Boleh ustaz kongsikan berkenaan usaha atau tindakan yang telah atau sedang dilaksanakan pimpinan baru PAS Kedah untuk Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri?

USTAZ AZIZAN HAMZAH: Langkah pertama kita sekarang adalah memperlengkapkan jentera. Jentera ni maksudnya daripada peringkat Jabatan Pilihan Raya Negeri, Jabatan Pilihan Raya Kawasan, Jabatan Pilihan Raya Dun dan Jabatan Pilihan Raya Unit Peti Undi.

Semua ini merupakan jentera yang kita gerakkan secara serentak. Semua jentera ini kita sedang persiapkan dengan secepat mungkin. Jentera kita sudah biasa daripada dulu sehingga sekarang berdepan arahan dari masa ke semasa yang disampai dan digerakkan menerusi jawatankuasa-jawatankuasa dalam jabatan tadi di peringkat-peringkatnya.

Jadi kita bina jentera ini yang merupakan kekuatan asas untuk kita nak laksanakan kerja-kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Berdasarkan tahap persiapan ketika ini, seandainya berlaku pilihan raya dalam masa terdekat, ustaz nampak adakah jentera pilihan raya PAS Kedah sudah bersedia?

Kalau setakat ini iaitu selepas daripada pemilihan parti untuk sesi 2015-2017 ni, sebahagian daripada kekuatan tenaga yang perlu kita bentuk, sudah pun selesai. Jadi jika menghadapi pilihan raya berlaku secepat mungkin, dengan pengalaman kita, tidaklah begitu susah. Jadi kalau ibarat jenis buah, dia cepat masaklah. Kalau kata pilihan raya berlaku, insya-Allah secara menyeluruh, jawatankuasa ini akan dibentuk dengan secepatnya.

Maksudnya, dengan pengalaman yang ada, ustaz yakin untuk menghadapi pilihan raya bila-bila masa dari sekarang?

Ya, insya-Allah, itu berdasarkan pada pengalaman.

Walaupun ia sebuah jentera, tetapi biasa berlaku kelemahan-kelemahan yang mungkin menyebabkan PAS tidak berjaya dalam pilihan raya. Jadi bagaimana mengatasi keadaan ini?

Dia macam ni, bila mana perkara tu (pilihan raya) berlaku, insya-Allah kita akan mengatasi dengan sebaik mungkin berdasarkan pengalaman yang ada. Mungkin berlaku kelemahan-kelemahan pada peringkat Dun misalnya, tetapi kita mengenalpastkelemahan yang ada tu dan kita akan tampung dengan sebaik mungkin.

Dari sudut jentera di peringkat Unit Peti Undi, daerah mengundi, semua ni jentera sudah ada, tenaga sudah bersiap sedia. Cuma dari sudut penyusunan, maknanya dari sudut penyusunan secepat mungkin untuk bertindak kepada arahan-arahan. Maka ketika itu pergerakan kita ini dari sudut jawatankuasa yang diberikan tugas tak kira masa, kita akan bergerak. Mungkin 24 jam dan berterusan sehingga mengatasi masalah dan kelemahan yang kita kenalpasti. Biasa macam tulah.

Dari pandangan pihak Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Kedah, adakah ustaz nampak situasi ketika ini memberi kelebihan kepada PAS untuk memenangi semula Kedah?

Alhamdulillah. Kita kata dengan apa yang berlaku pada ketika ini, dengan isu-isu yang sedang melanda rakyat, isu-isu yang tidak sepatutnya berlaku, maka kita yakini, juga dengan sokongan dan dokongan daripada tenaga kita yang sedia ada. Rakyat khususnya negeri Kedah melihat senantiasa kerajaannya tidak mengutamakan rakyat.

Ternyata bahawa Kedah yang dipimpin oleh Mukhriz Mahathir ini yang tidak membuat ataupun tidak mengadakan suatu perubahan, selepas daripada 4 tahun Pakatan Rakyat memerintah sebelumnya. Maka setelah mereka (BN) merampas semula kemenangan kita (PAS), dapat dilihat tiada suatu perkara baru pun yang dikemukakan berdasarkan kepada idea Menteri Besar dan rakan kongsinya, Exco-exco yang sedia ada. Ini merupakan perkara yang rakyat sedang melihat.

Insya-Allah dengan keyakinan inilah, kita bandingkan masa kita memerintah, masa diterajui oleh PAS dalam Pakatan Rakyat, rakyat boleh tengok secara ketara perubahan yang kita buat.

Malangnya, pertukaran daripada Kerajaan Pakatan Rakyat kepada Umno-BN, (menyebabkan) perancangan kita tidak sampai ke penghujungnya.

Tetapi dengan apa yang ada sekarang pun sudah memadai untuk rakyat mempunyai suatu kesedaran. Daripada sinilah, kita ada keyakinan dipilih oleh Allah SWT, insya-Allah.

Kita rasa dengan kesungguhan ini, kita letakkan keyakinan kepada Allah, di samping kita menunaikan tanggung jawab, bersedia atas khidmat untuk nak meninggikan agama Allah SWT.

Kita yakin pada Allah memberi kekuatan dan seterusnya memberi kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 insya-Allah yang akan berlaku selepas daripada itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...