TERKINI :

Wednesday, August 26, 2015

'Jambatan bengkok' -Shazryl Eskay kalah RM20j komisen



Kontraktor Merong Mahawangsa Sdn Bhd yang dianugerahkan kontrak projek jambatan bengkok, hari ini menang dalam rayuannya berhubung pembayaran RM20 juta kepada ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah.

Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan syarikat itu kerana ia menganggap kontrak untuk membayar Shazryl RM20 juta kerana mendapat projek itu adalah tidak sah kerana ia bertentangan dengan dasar awam.

Penghakiman itu dibacakan oleh Hakim Tan Sri Jeffrey Tan ‎Kok Wha. Panel hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.

Mahkamah memutuskan mengenai persoalan undang-undang, iaitu, sama ada sesuatu perjanjian untuk menyediakan perkhidmatan bagi mempengaruhi keputusan seseorang pembuat keputusan awam untuk menganugerahkan kontrak, adalah kontrak yang bertentangan dengan dasar awam, sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Seksyen 24 (e) Kontrak Akta 1950, dan oleh itu ia tidak sah.

Berkaitan dengan soalan tersebut, Hakim Tan menjawab bahawa ianya tidak sah.

Ia walaupun Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa 'perkhidmatan' yang diberikan oleh Eskay tidak bertentangan dengan dasar awam.

Mahkamah mengarahkan Shazryl Eskay membayar RM100,000 sebagai kos.

Kes itu mendapat perhatian pada 2012 apabila ia difailkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan Eskay untuk mendapatkan RM20 juta sebagai bayaran komisen.[Baca berita penuh/asal]

Sementara itu Bernama melaporkan, pada 5 Mei 2011, Mahkamah Tinggi menolak saman sivil Eskay terhadap Merong Mahawangsa dan Yahya yang dikatakan melanggar kontrak setelah beliau (Eskay) tidak berhak menuntut bayaran itu kerana projek berkenaan dibatalkan.

Projek Gerbang Antarabangsa Malaysia-Singapura itu (dikenali sebagai Jambatan Bengkok) bagi menggantikan Tambak Johor, dibatalkan kerajaan pada 12 April 2006, walaupun kerja awalnya telah dimulakan.

Kerajaan membayar ganti rugi RM155 juta kepada Merong Mahawangsa berikutan pembatalan projek itu.

Dalam penghakiman yang dibacakan Tan, mahkamah mendapati bahawa mengikut Seksyen 24 Akta Kontrak Malaysia 1950, adalah bercanggah dengan dasar awam Malaysia seseorang itu diambil berkhidmat dengan diberi wang atau pertimbangan berharga, untuk menggunakan kedudukan dan kepentingannya bagi memperoleh manfaat daripada kerajaan kerana perbuatan menjaja pengaruh boleh mengakibatkan perbuatan rasuah dan melemahkan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan, yang seterusnya boleh memudaratkan kepentingan awam.

Tan berkata komisyen RM20 juta itu adalah sebagai bayaran bagi khidmat Eskay untuk mendapatkan projek berkenaan dan beliau (Eskay) mengaku yang beliau 'menggunakan' pengaruh serta hubungan baiknya dengan kerajaan untuk mendapatkan projek jambatan asal itu untuk manfaat dan kepentingan Merong Mahawangsa.

Tan berkata, dalam kenyataan saksinya, Eskay menegaskan tentang fakta itu dan malah memberi butiran terperinci tentang pengaruhnya serta cara beliau menggunakan pengaruhnya dan meyakinkan para menteri persekutuan berkenaan.

"Suatu perjanjian, yang inti patinya ialah menggunakan pengaruh terhadap para menteri kerajaan bagi mendapatkan keputusan yang menguntungkan, boleh merosakkan pentadbiran yang baik dan berwibawa.

"Ia menunjukkan wujudnya kecenderungan untuk merasuah atau mempengaruhi penjawat awam supaya membuat keputusan menguntungkan, yang tidak mengikut merit sebenar. Perjanjian seperti ini adalah bercanggah dengan dasar awam. Tidak kisahlah sama ada orang yang hendak dipengaruhi itu tunduk atau tidak kepada syor yang dikemukakan," kata hakim itu.

Beliau berkata berdasarkan fakta serta keadaan yang ada, adalah jelas dan nyata bahawa pertimbangan itu bercanggah dengan undang-undang, manakala surat aku janji antara Merong Mahawangsa dan Eskay juga adalah tidak sah.

"Atas alasan inilah, tuntutan itu (oleh Eskay) perlu ditolak," kata Tan.

Hakim itu berkata apabila projek jambatan berkenaan ditarik balik, yang faktanya tidak dipertikaikan, maka penganugerahannya sudah tidak lagi bermakna.

"Apabila projek jambatan itu ditarik balik, penganugerahan projek jambatan berkenaan secara automatik turut ditarik balik. Dalam hubungan ini, kami bersetuju dengan dapatan hakim perbicaraan bahawa apabila projek jambatan itu ditarik balik, maka RM20 juta berkenaan tidak perlu dibayar, tetapi jika sudah dibayar, surat aku janji menyebut bahawa ia perlu dikembalikan," katanya.

Eskay memfailkan saman itu pada 2002 dengan mendakwa bahawa pada 1998, Yahya memohon pertolongannya untuk mendapatkan projek berkenaan daripada kerajaan dan mendapatkan pembiayaan dari luar negara untuk projek berharga RM640 juta itu.

Ketika membela dirinya, Yahya menafikan beliau menggunakan hubungan baik Eskay dengan kerajaan kerana perbuatan seperti itu "bercanggah dengan dasar awam dan melanggar undang-undang."

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Merong Mahawangsa dan Yahya, manakala Eskay diwakili peguam Datuk C V Prabhakaran.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...