TERKINI :

Tuesday, August 4, 2015

Guan Eng menang saman RM300,000 kes tapak warisan Pulau Pinang


Dr Jimmy Lim (kanan) daripada Chant bersama peguamnya dilihat keluar daripada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang hari ini selepas kalah dalam saman difailkan Ketua Menteri Lim Guan Eng. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 4 Ogos, 2015.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menang saman fitnah terhadap sebuah portal berita, bekas wartawan portal tersebut dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung satu laporan yang mendakwa beliau membenarkan kemusnahan banyak warisan sejarah dan strukturnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Nordin Hassan dalam keputusannya hari ini berkata, plaintif berjaya membuktikan kesnya terhadap portal Free Malaysia Today (FMT), bekas wartawannya Athi Shankar, atau nama sebenarnya S Karunakaran, dan penasihat Penang Citizens Awareness Chant Group (Chant) Dr Jimmy Lim Cheok Siang.

Beliau memerintahkan defendan membayar sejumlah RM300,000 ganti rugi kepada plaintif dengan 5% faedah, dan kos sebanyak RM30,000.

Beliau juga mengarahkan portal itu dan wartawan tersebut menarik balik artikel itu.

Lim menyaman portal itu, Athi dan Jimmy atas laporan yang disiarkan FMT bertajuk "Guan Eng gagal, kata NGO" bertarikh 6 Disember, 2013 kerana memfitnah.

Dalam laporan tulisan Athi yang kini menyertai sebuah organisasi media lain, Jimmy dipetik sebagai berkata, beliau menggesa ketua menteri itu "menunaikan janji-janji politiknya" terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan warisan dan sejarah di negeri ini.

Laporan itu juga mendakwa plaintif membenarkan pemusnahan perkampungan India, Kampung Buah Pala, yang juga dikenali sebagai Tamil High Chaparral, pada zaman awal pemerintahan Pakatan Rakyat.

Nordin berkata sebagai pembaca yang munasabah, beliau akan membuat kesimpulan plaintif melakukan seperti yang didakwa, iaitu membenarkan kemusnahan warisan dan kampung tersebut. – 4 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/guan-eng-menang-saman-rm300000-kes-tapak-warisan-pulau-pinang#sthash.wE2SOTyB.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...