TERKINI :

Thursday, July 30, 2015

Pemuda Umno Labis mahu Najib berehat

 
Pemuda Umno Labis menuntut Datuk Seri Najib Razak mengambil cuti rehat sehingga siasatan berhubung skandal 1MDB diselesaikan.

Ketuanya, Mohd Shahir Huddin Ali berkata tindakan itu dirasakan perlu kerana ia dapat melicinkan proses siasatan yang sedang dijalankan pihak berkenaan.

Katanya, pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pelantikan empat anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyertai barisan jemaah menteri baru adalah tidak wajar.

Mohd Shahir Huddin berkata anggota PAC tersebut sedang terlibat dalam penyiasatan satu kes besar peringkat nasional - kenyataan merujuk kepada skandal 1MDB.

"Perdana menteri pasti mengetahui rakyat tidak akan mempercayai apa jua keputusan siasatan dijalankan semua jawatankuasa atau task force (pasukan petugas khas) yang diwujudkan masih tertakluk kepada Najib sebagai ketua eksekutif negara," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kelmarin Najib mengumumkan rombakan kabinet dengan menggugurkan Muhyiddin daripada jawatan timbalan perdana menteri.
Najib turut melantik empat anggota PAC - Datuk Nur Jazlan Mohamed, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Mas Ermieyati Shamsudin dan Datuk Wilfred Madius Tangau - menyertai barisan kabinetnya.

Semua mereka, kecuali Wilfred, dilantik sebagai timbalan menteri manakala Ahli Parlimen Tuaran itu dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Nur Jazlan adalah Pengerusi PAC dan badan itu sedang menyiasat isu mengenai 1MDB.

Mohd Shahir Huddin berkata tidak wajar beberapa ahli PAC dibawa masuk ke kabinet kerana situasi itu mencetuskan satu lagi persepsi buruk rakyat terhadap kredibiliti siasatan dijalankan.

"Bagi menjamin ketelusan siasatan kami mencadangkan agar perdana menteri bercuti rehat bagi melicinkan proses siasatan yang sedang dijalankan," katanya.

Bagaimanapun, pada masa sama Mohd Shahir Huddin berkata mereka menerima serta menghormati keputusan dibuat Najib menggugurkan Muhyiddin kerana beliau sebagai perdana menteri berhak melakukannya.

Namun, katanya, mesyuarat khas kepimpinan di peringkat cawangan Labis sependapat bahawa apa yang dinyatakan Muhyiddin hanyalah meminta penjelasan tentang isu semasa yang berlegar di kalangan rakyat dan ahli Umno khususnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...