TERKINI :

Friday, July 31, 2015

KPN nafi laporan Sarawak Report yang mendakwa ada pertuduhan jenayah terhadap PM

 
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan laporan Sarawak Report yang mendakwa ada pertuduhan jenayah sedang disiapkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai "tidak sah asal-usulnya" serta boleh mengelirukan orang ramai.

Dalam satu kenyataan di Twitter, Khalid meminta khabar angin itu dihentikan.

 

Khalid kemudian memuat naik satu lagi tweet bersama satu tweet oleh Ketua Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang menafikan draf kertas pendakwaan yang didedahkan oleh Sarawak Report dikeluarkan oleh jabatan itu.

 

Tweet yang dikongsikan oleh Ketua Polis Negara itu adalah yang pertama daripada Tun Abdul Majid biarpun ketua pendakwa itu mendaftarkan akaun Twitternya sejak Disember 2010.

Sarawak Report dalam laporannya mendakwa pemecatan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada Selasa ada kaitan dengan pendakwaan rasuah yang dikatakan sedang dipersiapkan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Abdul Gani digantikan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sementara itu, Malaysiakini yang menghubungi Mohamed Apandi melaporkan peguam negara yang baharu itu tidak tahu menahu tentang dakwaan draf kertas pertuduhan seperti yang dilaporkan oleh Sarawak Report.

"Saya tidak tahu apa-apa tentang laporan itu jadi saya tak boleh komen, okay?" katanya seperti dipetik oleh portal berita itu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) baru-baru ini menyekat akses ke atas laman web Sarawak Report itu dengan alasan memaparkan laporan yang tidak sahih serta mengganggu gugat keselamatan negara.

Sarawak Report didakwa melaporkan maklumat mengenai 1Malaysia Development Berhad yang dikatakan dicuri oleh seorang bekas kakitangan Petro Saudi International, Xavier Andre Justo yang kini sedang ditahan dan disiasat oleh pihak berkuasa Thailand.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...