TERKINI :

Saturday, July 11, 2015

Alor Setar : Pemandu nyaris maut kereta dihempap pokok

Pemandu nyaris maut kereta dihempap pokok
Hasnul Armi Hasbullah, 42, melihat kereta jenis Nissan Almera miliknya yang rosak teruk selepas dihempap pokok besar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim hari ini. - Foto Bernama
 
ALOR SETAR - Tujuh kenderaan dilapor dihempap pokok di sekitar bandar raya ini ketika hujan lebat dan angin kencang pagi tadi.
 
Kejadian berlaku di Lebuhraya Sultan Abdul Halim dan Jalan Sultan Badlishah. Seorang pemilik kenderaan, Hasnul Armi Hasbullah, 42, berkata, keretanya rosak teruk selepas dihempap sebatang pokok besar kira-kira 11.40 pagi.
 
"Ketika itu saya sedang pulang ke rumah saya di Tanjung Bendahara.
 
"Saya sedang tunggu lampu isyarat apabila tiba-tiba saya terdengar bunyi benda jatuh pada bahagian belakang kereta saya sehingga saya tidak dapat keluar dari kereta," katanya.
 
Hasnul Armi berkata, beliau cuba keluar dari keretanya dengan menendang pintu kereta, tetapi gagal sebelum dibantu orang ramai.
 
Jamiatul Nazirah Mohd Jazlan, 22, dari Pendang yang sedang mengandung lima bulan berkata beliau ketika itu berada di dalam kereta bersama suaminya.
 
"Masa itu memang hujan lebat dan kami nampak banyak ranting pokok jatuh. Ketika sedang tunggu lampu isyarat, tiba-tiba kami melihat sebatang pokok menghempap kereta di hadapan kami. Mujur pokok tidak menghempap kereta kami," katanya yang bimbangkan dengan kandungannya.
 
Seorang pemandu lain Abdul Wahab Abu Seman, 59, dari Simpang Empat berkata Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) perlu sentiasa memantau dan memotong pokok yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...