TERKINI :

Wednesday, June 24, 2015

Ustaz Fadzil Noor ! “Tidurlah Bagaikan Malam Pengantin”

Oleh Ridzwan Abu Bakar

23.6.2002, adalah hari yang duka bagi para pendokong gerakan Islam di Malaysia, apabila dimaklumkan bahawa YB Ustaz Hj Fadzil bin Mohd Noor dipanggil balik bertemu dengan Allah SWT di HUKM, Kuala Lumpur setelah hampir 2 minggu berada di katil menerima rawatan di HUKM, Kuala Lumpur.

Dua minggu sebelum itu, di Muktamar PAS yang diadakan di Dewan PUTIK Kota Bharu, ketika mengucapkan Terima Kasih bagi pihak perwakilan kepada YB Ustaz Hj Fadzil Mohd Noor atas ucapan dasar yang disampaikan, Ustaz (sekarang Dato’) Hj Abu Kassim Abdullah selaku pengerusi tetap Muktamar telah membaca sepotong hadith yang mafhumnya ganjaran kepada mereka yang menghabiskan masa, tenaga dan harta untuk perjuangan Islam, akan dikatakan kepada mereka pada saat dikebumikan “Tidurlah bagaikan malam pengantin”, (hampir dalam setiap kali Muktmar Ust Abu Kassim akan baca hadith ini diselangi dengan pantun-pantun yang meniupkan semangat, yang antaranya “berakit-rakit ke hulu, berenag-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemduan” dan pantun-pantun memperkenalkan AJK Pas Pusat).

Para pejuang hanya akan berehat dan punya masa untuk beradu dengan tenang apabila mereka mati, Dr Ammar bin Fadzil – anak Al Marhum UFN – dalam ucapannya sebelum sembahyang jenazah telah menyatakan “Inilah – 2 minggu – masa yang dapat kami habiskan sepenuhnya bersama Baba”, demikianlah Pejuang – Ulama’ - Pemikir – Ahli Politik yang telah mula memberi azam dan himmahnya untuk bersama dengan para pejuang lain bagi memenangkan Islam di tanah air pada hari pertama beliau menjejaki kaki di Malaysia setelah beberapa ketika berada di lapangan jihad keilmuan di “kiblat” ilmu ummat ini di Al Azhar, Mesir.

Memulakan “khidmat” kepada ummat dengan berbangga menjadi seorang guru, profesyen yang dipilih oleh Nabi SAW selain dari menjadi seorang peniaga, “aku diutuskan sebagai muallim (guru) kebaikan” sabda Nabi SAW. Guru di Ma’had Mahmud, bertukar menjadi Pensyarah di UTM dan berakhir dengan diambil tindakan oleh pihak UTM kerana penglibatan beliau dalam politik. UFN terlibat dalam penubuhan PUM dan pernah menjadi Setiausaha Agungnya, pernah berpartisipasi dalam ABIM sehingga pernah memangku Presiden ABIM dan akhirnya berlabuh di PAS untuk berbakti kepada ummat, apapun benarlah kata pujangga “sekali menjadi guru, selamanya akan bergelar guru”, UFN tidak pernah meninggalkan kerja guru walaupun beliau sudah tidak berada di sekolah atau Universiti, Pejabat PAS Negeri Kedah dan rumah beliau di Kg Burhan menjadi saksi bahawa beliau telah “berjuang” untuk mengeluarkan ummat dari kejahilan kepada pencerahan ilmu melalui kuliah Dhuha yang dikendalikan oleh beliau dengan merujuk kitab Tafsir Ibnu Kathir.

UFN telah memberikan masanya untuk mendidik ummat melalui kuliah, ceramah, seminar bahkan melalui halaqah-halaqah kecil sebagai satu qudwah bahawa “Islam adalah agama ilmu”, bukan hanya dibina di atas emosi sahaja, bayangkan ketika orang lain masih bercakap-cakap tentang hukum tahi cicak kalau jatuh ketika berkhutbah, hukum memakai furdah dan sebagainya (semua itu penting), Al Marhum UFN telah jauh meninggalkan orang lain dengan berbicara tentang masa depan ummat dan cabarannya, dalam Simposium Ekonomi Islam (sebahagian rakamannya diabadikan dalam Youtube) yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat di bawah pimpinan Hj Mustafa Ali, beliau telah berbicara tentang “teori” jatuh bagunnya ummat dengan mengambil pandangan Sheikh Ali Tantawi dan me”Malaysia”kan idea termasuk (Ini salah satu keistimewaan UFN apabila merujuk kepada mana-mana turath atau karya semasa mana-mana tokoh, beliau tidak lupa untuk menyuntik roh “Malaysia” sehingga para pendengar akan merasai “kena” dengan tajuk dan tuntutan ummat yang dijadikan sasaran dakwah beliau).

Kalau kita meneliti ucapan-ucapan dasar yang disampaikan oleh UFN kita akan “terperasan” nilai ilmu yang tinggi dengan rujukan yang mantap, kerana beliau adalah “ilmuan”, bukan pejuang yang hanya berpijak kepada emosi semata-mata.
Itulah UFN, maka selayaknya beliau menerima penghargaan ummat yang saat kematiannya dihantar ke tanah perkuburan oleh ratusan ribu orang, “kalian adalah saksi Allah di muka bumi”, sabda Nabi SAW, kita semua telah “bersaksi” dengan perjuangan UFN pada 23.6.2002 sekitar jam 10.30 malam apabila kita menghantar beliau ke alam baqa’ dengan harapan “tidurlah Ustazku bagaikan malam pengantin”. “ Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan diredhai dan meredhai”

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...