Wang 
 
KUALA LUMPUR - Kejatuhan nilai mata wang ringgit yang disifatkan kritikal bukan sahaja membawa keburukan, bahkan turut memberi impak positif kepada rakyat negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, mana-mana pihak atau syarikat akan mendapat manfaat sekiranya menjalankan eksport keluar negara dalam dengan menggunakan mata wang dollar.

"... tetapi bagi syarikat atau pihak yang lebih banyak bergantung kepada banyak input yang diimport, mereka akan menerima kesan daripada kejatuhan ringgit," katanya ketika ditemui Sinar Online selepas tamat program #TanyaGomen di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pemulihan ringgit yang dilihat kritikal buat masa sekarang, beliau bagaimanapun memberi respons bahawa ia bergantung kepada keadaan semasa dalam negara.

"Kita tidak boleh cakap (ulas). Ia sebenarnya bergantung pada keadaan semasa.

“Sekarang kita ada banyak isu dan ia mempengaruhi ringgit mata wang kita," ujarnya lagi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada krisis di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa penganalisis politik menjadi punca kejatuhan kadar mata wang negara.

terdahulu, Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin mendakwa, ketidaktentuan iklim ekonomi negara kini dipengaruhi dengan iklim politik dalaman yang tidak stabil, sekali gus menyumbang penyusutan mata wang ringgit.

Katanya, pelabur luar akan lebih berwaspada untuk melabur apabila melihat politik negara yang tidak menentu terutamanya isu di antara Najib dan Dr Mahathir.