TERKINI :

Monday, June 29, 2015

Najib cuba ketepikan hujah pembelaan dalam kes saman Harakah

 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memfailkan saman terhadap Harakahdaily yang didakwa mengandungi perkataan fitnah yang menggambarkan beliau menyalahgunakan dana 1Malaysia Development Berhad. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Jun, 2015.
Datuk Seri Najib Razak, yang menyaman lidah rasmi PAS Harakahdaily berkaitan satu artikel mengaitkan anak tirinya dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), memfailkan permohonan untuk membatalkan pembelaan balas defendan atas alasan ia tidak relevan.

Peguam Mohamed Hanipa Maidin (gambar, kiri) berkata, pasukan peguam Najib mendakwa, ketua pengarang portal itu Taufek Yahya dan Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakob tidak boleh bergantung pada pembelaan komen yang adil dan perlindungan bersyarat untuk membolehkan saman itu ditolak.

“Mengikut pandangan mereka, kedua-dua itu ialah pembelaan 'common law' (British) dan ia tidak diperuntukkan di bawah Akta Fitnah (Malaysia),” katanya.

Hanipa yang mewakili Taufek berkata, beliau menentang pandangan itu dan akan mematahkan hujah mereka.

Pengurusan kes diadakan Jumaat lalu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng yang mengarahkan Hanipa dan peguam Faiz Fadzil yang mewakili Rosli, memfailkan afidavit mematahkan permohonan Najib sebelum 1 Julai.

Mahkamah akan mendengar permohonan Najib membatalkan pembelaan itu pada 13 Julai.

Hanipa memberitahu The Malaysian Insider, beliau percaya Najib membuat permohonan menolak pembelaan itu dengan harapan kes itu diputuskan tanpa perlu perdana menteri itu memberi keterangan dalam perbicaraan.

“Jika tuntutan itu masuk perbicaraan, Najib perlu beri keterangan dan kita akan ada peluang untuk soal balas beliau,” katanya.

Hue juga menetapkan tarikh bicara selama 7 hari bermula 7 Oktober.

Najib memfailkan saman terhadap Rosli dan Taufek berhubung artikel yang ditulis Rosli pada 19 Februari bertajuk “Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz? (Bhg 2)”.

Menerusi pernyataan tuntutan, Najib berkata artikel itu mengandungi perkataan fitnah yang menggambarkan beliau menyalahgunakan dana 1MDB.

Oleh itu, katanya, penerbitan artikel itu menjejaskan reputasinya dan mengakibatkan beliau dikecam dalam media sosial dan media massa.

Najib turut mendakwa Taufek gagal mengamalkan “kewartawanan bertanggungjawab” dengan tidak memastikan kesahihan kandungan artikel itu sebelum menerbitkannya.

Kritikan memuncak terhadap Najib berhubung syarikat pelaburan negara milik Kementerian Kewangan itu, 1MDB, yang ditubuhkan pada 2009 dan setakat ini mengumpul hutang mencecah RM42 bilion.

Najib menghadapi tekanan daripada pemimpin pembangkang, pemimpin Umno dulu dan sekarang, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan badan anti rasuah, yang menggesa siasatan menyeluruh dibuat ke atas syarikat itu.

Dr Mahathir juga mahu Najib meletak jawatan kerana skandal 1MDB itu.

Najib, bagaimanapun berkeras mengatakan beliau tidak akan berundur dan malah akan terus melawan balik, memberitahu satu himpunan besar di Kuching, Sarawak awal bulan ini, jangan memandang rendah beliau.

Beliau juga memfailkan saman serupa ke atas ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berhubung komennya terhadap 1MDB.

Pua dalam kenyataan balasnya berkata menjadi tanggungjawab wakil rakyat membangkitkan isu kepentingan awam.

Setiausaha publisiti kebangsaan DAP itu berkata orang ramai mempunyai hak mendapatkan maklumat berhubung isu yang memberi kesan kepada mereka dan semua fakta disahkan sebelum disebarkan kepada umum.

Pua juga berkata saman itu menimbulkan persoalan kerana Najib merupakan ahli Parlimen Pekan, perdana menteri dan menteri kewangan.

"Perbuatannya terbuka kepada kritikan kerana beliau memegang jawatan awam," katanya. – 29 Jun, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-cuba-ketepikan-hujah-pembelaan-dalam-kes-saman-harakah#sthash.SGE4VdYX.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...