Gurauan guru cetus kontroversi  
Tajul Urus menunjukkan surat aduan yang tersebar.
ALOR SETAR - Kenyataan seorang Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) sebuah sekolah kluster berprestasi tinggi di Sungai Petani yang dianggap menyentuh sensitiviti kaum bukan Islam hingga mencetuskan viral di laman media sosial sebenarnya disalah tafsir dan hanya bersifat gurauan.

Dalam surat aduan yang memperincikan insiden itu menyebut ‘murid-murid yang bukan Islam diingatkan supaya tidak minum air dalam kelas tetapi boleh minum air di tandas sekolah. Sekiranya tidak mempunyai air, maka boleh minum air paip atau air kencing sendiri’.

Surat yang tersebar di laman sosial itu dipercayai dihantar waris murid bukan Islam itu kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah bertujuan untuk mengadu tindakan guru berkenaan memberi nasihat kurang sopan dalam perhimpunan.

Exco Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, berdasarkan laporan dibuat JPN mendapati kenyataan guru berusia 40-an terbabit disalah tafsir murid bukan Islam yang menyertai perhimpunan pagi pada Ahad lalu.

Menurutnya, dalam perhimpunan terbabit guru itu mengingatkan murid mengenai kewajipan berpuasa kepada murid beragama Islam.

“Murid bukan Islam diminta supaya mengelak minum di depan murid Islam.

“Murid bukan Islam boleh minta izin guru untuk minum di luar kelas dan dengan nada berseloroh (bergurau) meminta mereka minum di tandas iaitu air paip “tapi jangan minum air kencing kamu pula,” katanya kepada pada sidang media di pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.

Tajul Urus berkata, namun ucapan dan pesanan itu disalah faham oleh segelintir murid dan menjadi isu.

“Waris juga turut membuat laporan polis, begitu juga dengan guru berkenaan kerana menerima ugutan melalui panggilan telefon sekolah,” katanya.

Beliau berkata, susulan insiden terbabit pihak sekolah berkenaan mengambil tindakan mengadakan perhimpunan khas dengan semua murid pada jam 11.15 pagi, semalam.

“Perhimpunan itu bertujuan untuk membetulkan semula kenyataan mengenai 'minum air kencing'," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dengan penjelasan itu, isu berkenaan dianggap selesai dan tidak harus menjadi isu politik dan perkauman.

“Penjawat awam terutamanya dalam sektor pendidikan juga diminta lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan.

“Waris yang terlibat juga boleh berjumpa dengan pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau saya sendiri bagi menjelaskan isu ini secara lebih terperinci,” katanya.