Bendera Malaysia
WAKIL rakyat atau pemimpin negara adalah orang yang memimpin sesuatu komuniti atas dasar mereka dipilih oleh rakyat itu sendiri.

Atas nama mereka sebagai pemimpin, mereka seharusnya sedar dan dapat merasakan apakah bentuk keadaan dunia yang sedang dihadapi kini, serta persiapan dan tindakan yang harus dipersiapkan kepada rakyat yang dipimpin di negara ini.

Mereka sebagai wakil rakyat yang berperanan sebagai pemimpin seharusnya tahu arah dan matlamat yang ingin dituju bagi kebaikan bersama.

Rakyat masih boleh memaafkan sekiranya ramai antara wakil rakyat kita yang kurang membaca ataupun tidak pernah langsung berketemu dengan pandangan-pandangan baru melalui pembacaan.

Masih dikira ‘tak apa’. Tetapi rakyat merasa gusar kini apabila terdapat agak ramai wakil rakyat yang tidak dapat meletakkan diri sebagai wakil rakyat menepati erti kata sebenarnya. Pendek kata rakyat amat tidak ‘selesa’ apabila berhadapan dengan tindakan wakil rakyat yang memalukan.
Walaupun tidak ramai yang berkelakuan yang tidak senonoh, namun rakyat akan melabelkan bahawa tindakan wakil rakyat adalah memalukan. Seekor kerbau (atau lembu) yang membawa lumpur maka pastinya semua terpalit.

Disebabkan dua tiga ‘ekor’ yang melakukan tindakan yang tidak wajar sebagai seorang wakil rakyat maka rakyat sedikit sebanyak akan menuduh bahawa kebanyakan wakil rakyat adalah bersikap demikian.

Orang tua-tua selalu berkata bahawa, ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’. Membayangkan bahawa sesuatu perkara buruk itu pasti tidak dapat dilindungi dan lambat laun akan diketahui juga. Itu dulu.

Kini setelah kemunculan media sosial yang begitu meluas, tentulah apa saja perkara yang membabitkan wakil rakyat akan diketahui dengan cepat oleh rakyat. Apatah lagi yang berkaitan dengan perkara-perkara buruk seseorang wakil rakyat itu.

Akhir-akhir ini terdapat wakil rakyat sama ada ahli Parlimen atau Adun yang mengeluarkan kata-kata yang sepatutnya tidak diucapkan oleh seorang wakil rakyat. Seolah-olah tidak memikirkan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata.

Ramai antara wakil rakyat yang memiliki hobi ‘mencarut’ sebagai budaya mereka di Parlimen dan di Dun. Membayangkan bahawa keadaan sedemikian sudah merupakan budaya yang sentiasa diamalkan oleh mereka setiap hari sama ada di rumah atau pun apabila berada di majlis-majlis.

Sesetengah wakil rakyat pula ada yang ‘tidur’ semasa Parlimen bersidang.

Rakyat biasanya mengharap sesuatu yang murni daripada seorang wakil rakyat, sama ada dari segi tingkah lakunya ataupun percakapannya ataupun cara mereka berhubung dengan rakyat.

Sekiranya seseorang wakil rakyat itu tidak menampakkan penonjolan yang sedemikian maka pastinya mereka tidak akan mendapat penghormatan daripada rakyat.

Rakyat kadang-kadang tertanya-tanya dan agak ‘bingung’ melihatkan tingkah laku wakil rakyat yang kononnya berkelulusan tinggi tetapi cara hujah dan penyampaiannya di Parlimen tidak menggambarkan langsung sebagai seseorang berkelulusan tinggi.

Dan begitu jugalah dengan keadaan wakil rakyat yang tidak dapat menempatkan diri mereka sebagai seorang wakil rakyat yang tugasnya adalah merangka undang-undang negara di parlimen.

Rakyat pastinya mempersoalkan kredibiliti mereka sebagai penggubal undang-undang, dan rakyat sendiri masih merasakan bahawa mereka belum begitu layak untuk diberikan pengiktirafan sedemikian.

Sepatutnya apabila menjelang kurun ke-21, tidak ada lagilah wakil rakyat kita yang bersikap seperti sesetengah wakil rakyat pada tahun-tahun selepas mendapat kemerdekaan dahulu. Rakyat boleh memaafkan wakil rakyat berkenaan atas dasar bahawa mereka sememangnya golongan yang tidak mendapat pendidikan yang agak sempurna berbanding dengan sekarang.

Ramai yang hanya berkelulusan darjah 5 atau darjah 6 sekolah Melayu sahaja dan tentu sekali rakyat dapat memaafkan. Kini sudah ramai wakil parlimen kita yang berkelulusan tinggi, tetapi tidak menampakkan kemampuan untuk ‘menggalas’ status lulusan tinggi mereka. Tentulah keadaan ini amat malang sekali.

Antara faktor yang menyumbang kebanyakan wakil rakyat bersikap tidak sepatutnya adalah :

Kurang membaca. Mereka telah tidak diketemukan dengan fakta dan maklumat yang terkini yang sedang berlegar di dunia kini. Mereka mungkin tidak melibatkan diri mereka dalam ‘the knowledge society’ kini. Lantas mereka agak ketinggalan dan tidak berapa tahu apa yang berlaku dalam dunia kini.

Mereka hanya bertemu dengan watak-watak ‘yes man’ yang sentiasa mengangguk apa saja yang diperkatakan oleh mereka, walaupun fakta yang diperkatakan amat tidak munasabah. Hujah seseorang wakil rakyat itu menjadi tidak berasas sama sekali. Lantas wakil rakyat sedemikian adalah sentiasa dalam keadaan ‘syok sendiri’. Sentiasa berada di kawasan ‘zon selesa’.

Berjuang hanya untuk diri sendiri. Menjadi wakil rakyat atau pemimpin hanya untuk populariti & keuntungan diri semata-mata. Lupa yang menjadi wakil rakyat tujuannya adalah untuk berbakti & menyumbang pada masyarakat.

Bercakap besar. Kata-kata yang dikeluarkan sesetengah wakil rakyat hanya ‘dilepaskan’ tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat.

Agama & moral diketepikan. Menjadi wakil rakyat atau pemimpin tetapi lupa nilai-nilai murni yang sepatutnya diamalkan apabila menjadi seorang pemimpin.

Kesimpulannya, wakil rakyat dan pemimpin seharusnya peka dengan suara masyarakat semasa. Peranan mereka bukan sahaja dapat dilihat oleh rakyat Malaysia, tetapi memberikan gambaran dan imej yang akan diperhatikan oleh dunia luar.

Jika mereka berkhidmat dengan baik, rakyat juga akan senang hati dan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan mereka. Mandat yang diberi oleh masyarakat bukanlah untuk kepentingan diri sendiri, tetapi untuk menyumbang dan berbakti demi masa depan masyarakat dan juga negara.



MUHAMMAD EFFENDI ISMAIL
Ijazah Sarjana Muda Psikologi & Pembangunan Sumber Manusia,
Fakulti Pengurusan,
Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor.