TERKINI :

Wednesday, May 20, 2015

Rumah Mangsa Banjir - Kjaan Pusat Salahkan Kjaan Kelantan sebab lewat lulus tapak tanah

Kelewatan lulus tapak punca rumah mangsa banjir lambat dibina



Kelewatan meluluskan tapak tanah adalah antara punca rumah kekal untuk mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan lambat dibina.

Menyatakan demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (gambar, kanan) berkata, kerajaan negeri baru meluluskan 12 tapak tanah di jajahan Kuala Krai pada 8 April lepas bagi pembinaan rumah tersebut.

"Sekarang kita sedang membuat kerja-kerja meratakan tanah sebab kawasan yang diperolehi tidak rata, manakala di Chenulang, kawasan tanah ini diceroboh dengan penanaman kelapa sawit dan sebagainya.

"Bila siap kerja meratakan tanah, kita ada cara pembinaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang boleh disiapkan dalam tempoh 45 hari untuk sebuah rumah," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) yang mahu tahu sama ada pembinaan rumah kekal untuk mangsa banjir di Kelantan dapat disegerakan.

Dalam pada itu, Shahidan berkata sebanyak 1,257 buah rumah akan dibina oleh kerajaan persekutuan di Kuala Krai dan daripada jumlah itu sebanyak lima buah rumah siap dibina, manakala 87 lagi sedang dalam peringkat pembinaan.

"Sebanyak 25 buah rumah lagi di peringkat pra-bina dan bakinya akan dibina apabila segala urusan berkenaan status tapak tanah diselesaikan pihak berkuasa negeri.

"Sekarang ini Kerajaan Persekutuan sedang melaksanakan kerja-kerja tanah untuk tapak di Telekong seluas 21.3 ekar (8.6 hektar) yang boleh memuatkan sebanyak 462 buah rumah, manakala di Chenulang seluas 54 ekar (21.85 hektar) memerlukan penyelesaian dengan pihak yang menceroboh tanah berkenaan," kata Shahidan.

Mengenai Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Kuala Krai, Shahidan berkata Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merancang untuk melaksanakan RTB Lembangan Sungai Kelantan.

Beliau berkata permohonan untuk RTB dibuat dalam Rancangan Malaysia ke-11 yang turut merangkumi Jajahan Kuala Krai.

Antara komponen yang terkandung dalam RTB Lembangan Sungai Kelantan ialah pembinaan empangan Lebir dan Nenggiri, pembinaan 'flood wall' dan 'levee' dengan keupayaan 'online storage' di sepanjang 40 kilometer untuk kedua belah tebing Sungai Kelantan.

Komponen lain ialah pembinaan Lencongan banjir di Sg. Ketereh, Sg. Seribong, Sg. Lubok Mulong, Sg. Pengkalan Datu dan Sg. Raja Gali termasuk pembesaran Sg. Pengkalan Datu serta menaik taraf muaranya dan RTB Pasir Mas, Tanah Merah dan Kota Baru. – Bernama, 20 Mei, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kelewatan-lulus-tapak-punca-rumah-mangsa-banjir-lambat-dibina#sthash.4eVD6Eh5.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...