TERKINI :

Friday, May 22, 2015

Pas cukup matang untuk bersendirian

ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD


SHAH ALAM - Pas sudah cukup matang untuk bergerak bersendirian jika tidak mendapat persefahaman dengan rakan pembangkang lain.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, pertelingkahan berlaku membabitkan pemimpin PR tidak dapat disembunyikan lagi terutama antara Pas dan DAP.

Menurut beliau, jurang perselisihan faham antara dua sekutu itu semakin melebar dan jika Pas tidak membuat pendirian tegas, parti itu akan terhimpit dengan masalah yang lebih besar.

“Jurang (perselisihan) makin jauh, salah satu daripada mereka akan jatuh ke dalam jurang itu. Jika tidak dirapatkan semula, tidak mustahil PR akan terbubar.

“Pertelingkahan antara pucuk pimpinan tertinggi parti sukar untuk didamaikan apabila kedua-dua berpegang pada perjuangan parti masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Terbaru Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengulangi kenyataannya bahawa PR akan tinggal sejarah sekiranya ada di antara rakan komponen yang melanggar dasar bersama PR.

Kelmarin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa parti itu berhak untuk marah kepada DAP kerana menentang perjuangan parti itu melaksanakan undang-undang Islam.

Mohd Fuad berkata, mengambil kira Kabinet Bayangan DAP, adalah baik untuk Pas bergerak bersendirian daripada terus duduk dalam PR.

Tambah beliau, Muktamar Pas ke-61 yang akan berlangsung awal bulan depan adalah medium terbaik bagi mendapatkan kata sepakat sama ada Pas perlu terus kekal atau tinggalkan PR.

“Walaupun belum menang (tawan Putrajaya), sudah dapat lihat kedudukan Pas itu di mana melalui Kabinet Bayangan yang dibuat.

“Pas juga sering kali diugut dan dikecam DAP susulan mahu meneruskan agenda perjuangkan Islam terutamadalam isu hudud, sampai bila Pas mahu terus diugut? Jadi Pas perlu berani buat pendirian kerana Pas sudah cukup matang untuk bergerak sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, katanya walaupun kemelut yang berlaku dilihat semakin parah, namun PR sukar untuk terbubar sekiranya matlamat mereka masih sama iaitu menawan Putrajaya.

“Mereka goyah, tapi masih bersama, umpama tidur sebantal mimpi lain-lain,” katanya.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian pula berkata, sukar untuk PR bergerak ke hadapan sekiranya wujud perbezaan antara kepentingan parti dan perjuangan bersama dalam pakatan yang dibentuk.

“Jika Pas masih terus berpegang dengan perjuangan parti untuk menegakkan Islam, tetapi DAP pula menentang perjuangan itu, bagaimana nak terus bersama? DAP tidak boleh salahkan Pas kerana sejak dahulu kita maklum mengenai perjuangan Pas untuk memperkenalkan hudud dan negara Islam.

“Ketika ini PR berdepan dengan krisis kepimpinan yang mana PKR perlu mainkan peranan untuk memastikan gabungan itu terus kekal bertahan sehingga PRU14,” katanya.

Menurut beliau, masalah yang berlaku boleh diselesaikan sekiranya salah satu parti yang bertelagah keluar daripada PR.

Beliau turut menyifatkan muktamar kali ini sebagai medium terbaik untuk Pas memutuskan pendirian berhubung isu itu.

Bagaimanapun, PR tidak akan terkubur dengan begitu mudah jika serangan yang berlaku lebih bersifat peribadi seperti yang berlaku kebelakangan ini.

1 comment:

Abootarbus said...

Gulungan ostat pas masih kampongan ......... Memang tak dapet nak nolong la. Tarbiah xde dakwah takda alih2 nak undang2 islam, maka samalah pas dgn amno! Lagi pon AHA penyokong kuat Najib, kalau MCA kritik takpa, kalau kawan kritik di kira menghina walau pun ada asas bernaskan lidah ulamak sendiri.........yg saya pasti kalau Pas berhasrat nak maju kedepan, singkirlah mursydul amnya dulu.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...