Tengku Razaleigh Hamzah  
Tengku Razaleigh Hamzah
 
KUALA LUMPUR - ‎Dalam keghairahan untuk mencapai negara maju pada tahun 2020, asas utama mengaitkan pendapatan rakyat yang tidak selari dengan kos sara hidup masih belum ditangani pemerintah.

‎Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, meskipun kadar kemiskinan tegar semakin berkurangan namun hakikatnya rakyat kita masih hidup susah.

"RMK11 itu bagus...tapi saya sendiri berpendapat soal asas perlu ditekankan juga. Walaupun dimaklumkan bahawa kemiskinan tegar telah berkurangan dengan banyak...baguslah...itu kejayaan tapi hakikatnya rakyat susah. Pendapatan rakyat tak sepadan dengan kos yang meningkat. Itu satu faktor yang mesti ditekankan.

"Soal perbekalan air, kita di Selangor dan Kuala Lumpur pun selalu menghadapi masalah air. Tapi kita nak pergi ke arah negara maju. Maju bagaimana?...kalau air pun tak ada. Soal pendidikan, banyak graduan kita yang susah dapat kerja. Kalau dapat kerja pun, gaji tak tinggi.


"Ini yang menjadi masalah kepada kita. Bagaimana kita nak menjana semua jentera untuk memacukan ekonomi kita kalau kemahiran, produktiviti tidak begitu baik?," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan ‎Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan apa yang dirangka kerajaan itu baik untuk rakyat dan negara namun beliau berpendapat perkara asas dalam pembentukan negara maju itu lebih perlu ditekankan sebelum memastikan kita mencapai ke tahap tersebut pada 2020 nanti.

Dalam pada itu, beliau ‎turut bersetuju agar pendapat rakyat negara ini ditingkatkan bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup.

"(Sepatutnya pendapatan rakyat dinaikkan?) Ya. Kita tak nak (apabila) wujudkan peluang-peluang, orang luar dapat kerja. Rakyat kita tak dapat. Buat MRT, rakyat kita tak dapat, orang luar dapat.‎ Kalau kita tak dapat memahirkan ora‎ng-orang kita dengan kebolehan bagaimana kita nak pergi ke depan?

"Saya nak tengok rakyat kita dapat faedah daripada segala rancangan kemajuan. Tapi kalau setiap yang kita buat, orang kita tak ada tempat, orang luar yang dapat...banyak upah yang dibayar mengalir ke luar, ini tidak membantu kita," katanya.