TERKINI :

Friday, May 22, 2015

Najib diganggu ‘jeritan Hidup Tun Mahathir’ ketika Pembentangan RMK11

Perdana Menteri hanya tersenyum mendengar jeritan itu dan meneruskan ucapan sehingga selesai.

najib-mahfuz-RMK11

PETALING JAYA: Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat cuba ‘diganggu’ oleh seorang Ahli Parlimen pembangkang yang menjerit nama Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Hidup Tun Mahathir” jerit Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, ketika Perdana Menteri berucap dengan kata-kata semangat di akhir-akhir pembentangan RMK11.

Jeritan itu membuatkan suasana dewan kecoh sehingga apabila sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang ketawa dan menepuk meja.

Najib bagaimanapun tidak terganggu dengan celahan itu dan hanya tersenyum dan meneruskan ucapan sehingga selesai.

Dalam ucapan penuh semangat dan kata-kata kiasan itu, Najib mengulangi pendirian untuk tidak berundur kerana menganggap kritikan Dr Mahathir adalah asam garam bagi seorang pemimpin.

Beliau juga menyeru pemimpin yang setia dengannya supaya bersabar, berdoa dan berusaha kerana akhirnya mereka pasti akan menang.

“Saya dan kerajaan memilih untuk terus melangkah ke hadapan dan tidak sesekali beralih haluan.

“Benar kata alim ulama dan pujangga, hidup ini sememangnya satu perjuangan laksana lautan yang jarang tenang, sesekali ombak naik sesekali ombak turun, penggantian hujan dan panas, ada kala susah ada kala senang.

“Justeru, saya menyeru rakan-rakan yang setia sekiranya kita bersabar, seandai kita kukuhkan kepercayaan juga keyakinan di dada, bertawakal kepada Yang Maha Kuasa, kelak terbentanglah jalan keluar dan kemenangan kepada kita.

“Begitulah kita wajib menghimpun doa dan berharap RMK11 akan disokong dan menepati semua lapisan masyarakat daripada nelayan, pesawah sehinggalah korporat dan cendekiawan,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...