Mohd Rawi (tengah) melihat buah mangga yang boleh dikomersialkan.

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah mengisytiharkan muzium mangga di Sala Kanan, di sini sebagai yang terbesar di dunia.

Exco Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, ia berikutan Kedah mempunyai sebanyak 110 jenis klon mangga dari seluruh dunia.

“Kerajaan negeri akan mengangkat muzium ini sebagai produk pelancongan baharu kerana ia menyimpan banyak klon mangga dari seluruh negara.

“Sejak ditubuhkan pada 1977, muzium mangga ini sudah mempunyai lebih 500 pokok mangga yang terdiri daripada pelbagai jenis,” katanya pada sidang media sempena program Jom Makan Mangga di Pusat Teknologi Mempelam di Sala Kanan, di sini, semalam.
Menurutnya, pelancong yang mengunjungi muzium terbabit juga berpeluang untuk merasai nikmat kesedapan pelbagai jenis buah mangga dari seluruh negara.

Antara jenis klon mangga yang boleh didapati di muzium mangga di sini ialah dari Kedah sebanyak 40 klon, negeri-negeri lain (39 klon), Thailand (12 klon), Amerika Syarikat (enam klon), Filipina (dua klon), Mali (empat klon), Australia (empat klon) dan lain-lain negara (tiga klon).

“Sempena promosi Tahun Melawat Kedah 2016, setiap pelancong berpeluang untuk menikmati kesedapan pelbagai jenis buah mangga dengan bayaran RM15 seorang, makan sampai pengsan.

“Pendekatan ini bertujuan untuk memperkenalkan kepada orang ramai mengenai program-program yang nak kita rencanakan pada masa depan,” katanya.

Selain itu, pelancong juga berpeluang untuk merasai keenakan buah harumanis yang ditanam di ladang berdekatan muzium terbabit.

“Ini merupakan kerangka awal kerajaan negeri sebelum ia dibawa masuk ke dalam kalendar Tahun Melawat Kedah 2016.

“Promosi ini bermula sekarang sehingga sebelum Ramadan sempena musim mangga yang sedang berbuah,” katanya.