Dua beranak rugi RM4,000

Dua beranak rugi RM4,000 
 Ahmad Nasir memeriksa kenderaan milik mangsa yang dicuri sebelum ditinggalkan dua kilometer dari lokasi kejadian.

KUALA NERANG - Seorang pengusaha stesen minyak dan anaknya rugi RM4,000 dalam kejadian samun empat lelaki bertopeng di rumah mereka di Padang Sanai, di sini, kira-kira jam 9.50 malam, kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa, 71, lebam di beberapa bahagian badan dan anak lelakinya, 40, yang cedera di kepala terpaksa menerima empat jahitan.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, empat suspek itu menaiki kereta Proton Wira warna biru meluru masuk ke rumah dan mencederakan mangsa dengan objek keras.  

“Penyamun melarikan wang RM4,000 dipercayai hasil perniagaan stesen minyak diusahakan mangsa.

"Selain wang tunai, suspek turut melarikan sebuah pacuan empat roda milik mangsa sebelum meninggalkannya di tepi jalan kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian,” katanya .

Menurutnya, hasil siasatan, mangsa memaklumkan melihat sebuah kereta daripada jenis dan warna sama digunakan suspek berlegar-legar di kawasan sekitar rumahnya kira-kira dua hingga tiga hari sebelum kejadian.

"Mangsa mula curiga dengan keadaan itu, namun tidak memaklumkannya kepada polis. Jika dimaklumkan awal, ia akan dapat memudahkan polis membuat intipan.

"Kita akan terus berusaha mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan," katanya.

Sementara itu, mangsa ketika ditemui enggan ditemubual dan menyerahkan kes berkenaan kepada polis untuk siasatan lanjut.