15 tahun pelihara kucing jalanan 
Sae Chew gembira dapat membantu kucing terbiar dengan memberi makanan dan rawatan di rumahnya di Jalan Langgar.

ALOR SETAR - Rutin harian sepasang suami isteri dari Jalan Langgar, dekat sini, hanya berkisar tentang kucing terbiar sejak 15 tahun lalu.

Sae Chew, 53 dan suaminya, Chew Sin Hin, 61, tidak kisah menghabiskan wang semata-mata mahu melihat kucing terbiar cukup makan dan tidak sakit.

Menurut Sae Chew, dia mula mengambil anak kucing terbiar sejak 15 tahun lalu apabila melihat seekor anjing berkelahi dan menggigit kucing berkenaan hingga tercedera.

“Kejadian itu menyebabkan timbulnya perasan sayang dan mula berminat untuk membela kucing.  

“Sejak peristiwa ini, jika saya melihat kucing yang sakit sama ada di pasar dan medan selera, saya akan bawa pulang," katanya.

Tambahnya, pada awalnya tindakan itu kurang disenangi suaminya namun lama kelamaan suami akur dengan minatnya itu.

Simpati dengan kucing terbiar, dia sanggup membelanjakan RM50 sehari bagi membiayai makanan untuk dibawa ke enam kawasan kucing jalanan di sekitar Alor Setar.

“Setiap pagi suami akan beli ikan sebanyak tujuh kilogram dan saya akan mengasingkan tulang dengan isi untuk memudahkan kucing makan.

"Pada waktu petang saya akan memasak nasi untuk semua kucing itu dan dibawa ke beberapa tempat sekitar Alor Setar,” katanya yang memiliki 30 ekor kucing di rumahnya.

Katanya, dianggarkan sebanyak 20 hingga 50 ekor kucing jalanan akan menanti kehadirannya  dan suami di enam kawasan berkenaan.

“Setiap kali memberi makanan kepada kucing itu saya akan memastikan semua kucing itu sihat dan tidak ada yang cacat. Jika ada yang menghadapi masalah kesihatan saya akan beri ubat yang dibawa bersama,” katanya.

Dalam pada itu, tindakannya itu pernah mendapat cemuhan dari orang ramai serta jirannya kerana dikatakan bodoh dan gila gara-gara sanggup membuang duit semata-mata membeli makanan kucing setiap hari.

Bagaimanapun semua tanggapan masyarakat terhadap dia dan suaminya itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk membantu kucing yang terbiar.

Malah, jika ada pihak yang menghulurkan bantuan kewangan dia akan memastikan duit berkenaan digunakan untuk membeli makanan dan ubat-ubatan untuk kucing-kucing itu.