TERKINI :

Sunday, May 31, 2015

Ahmad: Serang peribadi bukti habis modal

Zulaikha Zulkifli

PuPencabar bagi jawatan presiden PAS Ahmad Awang kesal apabila budaya fitnah-memfitnah kini dilakukan pihak tertentu dalam parti itu khususnya menjelang pemilihan parti yang semakin hampir ke kemuncaknya.

Bekas naib presiden PAS itu mendakwa terdapat pihak yang melakukan "pembunuhan watak" dengan melakukan serangan peribadi kerana tidak mempunyai "modal" untuk mengecamnya berikutan keputusannya bertanding jawatan tertinggi parti.

"Mereka dah tak tahu nak kata apa lagi, sebab saya istiqamah dalam gerakan Islam, saya juga dah ceritakan kenapa lima tahun dulu saya tidak aktif, saya juga ulama.

"Jadi sekarang ini apa yang dilakukan ialah pembunuhan watak.

"Dulu orang Umno yang fitnah, tapi sekarang ini orang PAS pula," katanya dalam forum Mampukah PAS dilonjakkan Pasca Jun 2015 di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) malam tadi. 

Kira-kira lima hari lagi sebelum muktamar, Ahmad kini diserang oleh kumpulan pendukung status quo dalam PAS sebagai mengetuai "kumpulan yang lunak dengan DAP" .

Malah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut memberi kebebasan kepada perwakilan untuk memilih pemimpin yang mengikut telunjuk DAP atau sebaliknya.

Turut hadir sebagai ahli panel pada forum itu ialah bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas menteri besar Selangoor Tan Sri Muhammad Mohd Taib.

Sementara itu bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib berkata perpecahan yang berlaku dalam PAS kini turut melibatkan pihak luar daripada parti.

Profesional lari

Beliau juga mendakwa Umno tidak akan membiarkan PAS terus kuat bersama Pakatan dan menjadi punca berlaku perpecahan sehingga wujudnya dua kem dalam parti Islam itu.

"Politik adalah seni kepada kemungkinan. (Umno) kena buat sesuatu, kalau tidak imej Umno akan merudum. Jadi cara yang mesti dilakukan ialah pecahbelahkan Pakatan, PAS dan DAP perlu dilagakan.

"Dan cara nak pecahkan PAS pula ialah dengan memisahkan mereka dengan pihak ulama dan profesional. Saya tengok PAS jadi mangsa, sesetengah pemimpin PAS jadi mangsa.

"Selepas itu mereka kata golongan profesional nak menentang hudud. Mana ada pihak yang nak tentang hudud, yang saya tau (nak tentang hudud) Umnolah," katanya.

Justeru itu, bekas naib presiden Umno itu berkata lagi, menjelang muktamar PAS ke-61, beliau berharap agar parti itu tidak akan menyingkirkan golongan profesional.

Ini kerana, sekiranya PAS mengambil pendirian untuk menolak golongan profesional, dikhuatiri ia akan menjadikan parti itu lemah dan golongan tersebut tawar hati untuk menyertai PAS selepas ini.

"Kalau ulama buang profesisonal, lepas ini golongan ini tak nak masuk lagi ke dalam PAS. Yang tinggal hanya ulama.

"Lebih baik (PAS) jadi badan dakwah sahaja. Kita nak PAS dengan kekuatan yang boleh jadi alternatif kepada pimpinan negara," katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...