TERKINI :

Wednesday, May 13, 2015

Ahmad Maslan mengaku bahawa beliau kini merupakan “individu yang paling dibenci di Malaysia”

 
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata beliau tidak kisah dengan penghinaan dan kejian ke atasnya ekoran pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Dengan selamba, Ahmad hari ini mengaku bahawa beliau kini merupakan “individu yang paling dibenci di Malaysia” ekoran cukai tersebut.

Laporan The Malay Mail Online menyebut, Ahmad berkata beliau sudah lali dengan cemuhan dan pelbagai gelaran yang dihamburkan di media sosial ke atasnya.

Malah, ada yang sanggup mengejinya dengan gelaran “tahi babi,” kata ketua penerangan Umno itu lagi.

“Antaranya, paling teruk sekali adalah tahi dan orang Islam tidak suka babi. Mereka kata muka saya seperti tahi babi,” katanya.

Katanya, beliau yakin bahawa tindakannya mempertahankan penguatkuasaan cukai tersebut adalah tindakan yang betul bagi pihak kerajaan.
“Saya sudah lali dengan semua tuduhan seperti ini kerana saya tahu apa yang saya buat untuk kerajaan Malaysia adalah yang terbaik.

“Saya Ahmad Maslan, orang yang paling dibenci di Malaysia kerana GST,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Kenyataannya mengenai GST menerima kritikan pelbagai pihak termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang  tidak faham dengan penjelasan berhubung cukai tersebut.

Pelaksanaannya menimbulkan pelbagai kekeliruan termasuk ke atas penetapan harga untuk tambah nilai prabayar telefon bimbit.

Selain cemuhan di media sosial, muncul pula satu permainan video dengan watak yang menyerupainya di Internet.

Pemain video tersebut menjalankan misi menembak watak zombi “Maslan 3.85”.

Nama watak itu menimbulkan spekulasi bahawa ia merujuk kepada prestasi cemerlang yang dicapai di universiti dengan purata nilai gred 3.85.

Ahmad membangkitkan mengenai pencapaiannya di universiti itu untuk menunjukkan kepada para pengkritiknya bahawa beliau tidaklah sebodoh yang disangka.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...