Rafizi Ramli  

PETALING JAYA - Selain Lembaga Tabung Haji (TH), Permodalan Nasional Berhad (PNB) didakwa turut terlibat meminjamkan wang berjumlah RM579.2 juta kepada syarikat pelaburan kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, penglibatan PNB itu mengesahkan kebimbangannya bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menggunakan dana awam untuk menyelamatkan 1MDB.

"TH telah meminjamkan sebanyak RM920.8 juta kepada 1MDB melalui pembelian bon sukuk yang diterbitkan dalam Februari 2014. TH sahkan pembelian sukuk ini berhubung pembangunan Bandar Malaysia oleh 1MDB dan hasil pinjaman sukuk ini akan digunakan untuk membiayai pembinaan kem-kem tentera dan infrastruktur berkaitan bagi memindahkan‎ operasi sedia ada di Kem Sungai Besi sebelum ini.

"Terbitan hutang melalui bon sukuk oleh 1MDB ini melibatkan pembelian sukuk oleh dua agensi pelaburan kerajaan iaitu TH dan PNB. Bermakna, sejumlah RM920.8 ‎juta telah dipinjamkan TH kepada 1MDB, baki RM579.2 juta pula telah dipinjamkan PNB kepada 1MDB," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau mendakwa, hasil semakannya, 1MDB merancang untuk menerbitkan sehingga RM2.5 bilion sukuk bagi membiayai pembangunan Bandar Malaysia.

"...di samping hutang sebanyak RM2 bilion yang diperolehi dari Ambank juga bagi tujuan pembangunan Bandar Malaysia.
Malangnya, sehingga sekarang kita masih belum melihat kemajuan yang meyakinkan bahawa Bandar Malaysia ini akan mendatangkan keuntungan yang membolehkan 1MDB membayar kembali hutangnya.

"Soalan paling besar, apa yang telah terjadi kepada RM3.5 bilion (RM1.5 bilion dari sukuk yang dipinjam dari TH dan PNB serta RM2 bilion pinjaman dari Ambank) yang telah dipinjam setakat ini kononnya untuk membangunkan Bandar Malaysia?

"Penglibatan PNB dalam memberi hutang kepada 1MDB kini mengesahkan kebimbangan saya bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan menggunakan dana-dana awam untuk menyelamatkan 1MDB," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini, hanya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ‎yang mengesahkan tidak terlibat dalam apa-apa transaksi dengan 1MDB.

Namun, dakwanya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ‎masih belum membuat sebarang pengesahan.