TERKINI :

Wednesday, April 15, 2015

Wang persaraan atau wang nak bagi anak cucu pesara?

FAUZIAH AROF | 15 April 2015 1:20 AM


“TUNGGU 60 tahun baru boleh keluar duit caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)? Aku keliru ni... KWSP sebenarnya urus wang untuk simpanan persaraan atau simpanan untuk anak cucu?”

Itu antara komen yang saya baca dalam media sosial apabila keluar berita tentang cadangan KWSP untuk menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya kepada usia persaraan 60 tahun, Sabtu lepas.

Walaupun setakat ini cadangan itu masih kekal sebagai cadangan kerana perlu dibawa ke Kabinet untuk di­bincangkan sama ada boleh dilaksanakan atau tidak, tetapi cadangan berkenaan telah banyak membuatkan orang ramai marah.

Bagaikan tidak kena pada waktunya, cadangan itu di­suarakan ketika orang ramai masih terpinga-pinga dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula pada 1 April lalu yang sistemnya dikatakan baik tetapi diambil kesempatan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan.

Betapa tidak, sehingga kini ramai tertanya-tanya barang mana yang turun harga kerana sebelum ini dikatakan akan ada penurunan harga barang tertentu apabila GST dilaksanakan.


Sudah tentunya ini semua menambah kacau dan serabut dalam kepala orang ramai. Isu-isu yang membabitkan wang rakyat termasuk cadangan pengeluaran wang simpanan pada usia 60 tahun ini pasti membuatkan orang ramai cepat tersentap.

Tersentap kerana kita kini melalui fasa berperang de­ngan kos sara hidup yang kian meningkat sedangkan pendapatan tidak banyak berubah atau tidak berubah langsung terutamanya dalam sektor swasta. Ini hakikat yang tidak boleh ditolak.

Jadi apa saja cadangan yang boleh menambah beban rakyat, lebih baik didiamkan saja ketika ini.

Ini kerana rakyat perlukan dasar-dasar yang tidak menekan lagi kehidupan mereka. Kalau sudah boleh keluar wang pada usia 55 tahun, kenapa perlu tambah lima tahun lagi atas sebab semata-mata tidak mahu wang itu cepat dihabiskan pencarum.

Sedangkan dalam usia sudah mencapai warga emas, kebanyakan rakyat negara ini masih bergelut dengan bebanan hutang terutamanya ansuran rumah.

Perlu diingat, ramai rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah tidak mempunyai wang simpanan di bank pun kerana tiada lebihan wang untuk menabung. Mereka cuma ada simpanan dalam KWSP sahaja.

Maka wang itulah yang diperlukan untuk membayar kos perubatan bila sakit. Kita pun tidak tahu berapa ba­nyak pula kos perubatan akan naik pada masa depan. Ada yang mahu gunakan wang itu untuk ke tanah suci dalam usia 50an ketika kesihatan masih baik. Ada yang masih menanggung anak yang belajar di pusat pengajian tinggi dan macam-macam lagi keperluan dan perancangan.

Hasil kaji selidik yang dijalankan oleh pakar ekonomi yang menunjukkan rata-rata pencarum cenderung untuk menghabiskan wang simpanan dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas membuat pengeluaran penuh sepatutnya tidak boleh dijadikan sebab untuk perlunya menambah lima tahun lagi pengeluaran wang.

Hakikatnya wang simpanan persaraan adalah hak pencarum. Janganlah membuat perkara-perkara yang menyukarkan pencarum untuk mengeluarkan wang mereka sendiri. Kalau wang itu tidak dapat bertahan lama sekali pun, sudah pasti ia dihabiskan untuk memenuhi keperluan pencarum.

Lainlah kalau KWSP memberi pilihan kepada pencarum untuk mengeluarkan wang simpanan itu sama ada dalam usia 55 atau 60 tahun.

Perlu diingat purata jangka hayat rakyat di negara ini tidak sampai 79 tahun bagi wanita dan lelaki kurang daripada itu. Dalam usia 60 tahun, risiko menghidap macam-macam penyakit termasuk yang kronik adalah amat tinggi.

Jadi apabila sudah sakit-sakit baru boleh menikmati wang persaraan atau umur tidak sempat ke angka 60 itu, maka betullah wang caruman tersebut lebih tepat dipanggil wang simpanan anak cucu pekerja!

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...