TERKINI :

Thursday, April 9, 2015

Umno dominan masih perlu PAS jadi teman?

Oleh Nazri Noor

Politik Malaysia adalah Umno. Dan Umno adalah politik Malaysia."

http://antarapos.com/v1/images/news_images_upload/content/umno%20pas%202.jpg
Satu ungkapan yang tidak ada siapa berani dapat nafikan. Umno sememangnya layak dinobatkan sebagai sebuah parti yang dominan. Bukan setakat jaguh kampung, tetapi setanding, malah berdiri lebih tinggi daripada parti kontemporari seperti Golkar (Indonesia), Kongress (India) dan seumpamanya.

Bayangkan, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 pada 2004, Umno yang muncul dengan 109 kerusi, membolot 49.8% daripada jumlah kerusi di Dewan Rakyat. Untuk memerintah negara ketika itu, Umno cuma perlukan seorang ahli Parlimen yang lompat, menjadikan kerusi Umno 110, angka yang layak untuk majoriti mudah, dan seterusnya layak memerintah bersendirian. Tanpa perlu bantuan sesiapa.

Begitulah dominannya Umno. Golkar dan Kongres pun tidak pernah terbayang mendapat laluan semudah itu untuk memerintah di negara mereka..

PRU12 dan PRU13 : Umno lawan Pakatan Rakyat (PR)

Pada PRU12 (2008), Umno secara bersendirian muncul sebagai juara keseluruhan dengan membolot 79 kerusi, berbanding 82 untuk PR. Ditolak 2 kerusi dari Sabah dan Sarawak, kerusi PR di Semenanjung ialah 80, sama banyak dengan kerusi Umno yang 79 itu.

Maksudnya, kejutan arus tsunami Semenanjung yang dibawa PR itu cuma mampu dipatahkan Umno secara bersendirian, tanpa perlu mengharapkan orang lain.

Sekali lagi, PRU13 menyaksikan Umno muncul pemenang mutlak sebagai sebuah parti yang dominan dengan 88 kerusi, bersamaan 40% dominasi di Dewan Rakyat. Umno semenangnya dominan daripada segi pencapaian kerusi, walaupun perolehan undi, masih boleh dipertikaikan.

Pokoknya, Umno memang dominan. Tapi persoalannya, kenapa Umno masih perlukan PAS?

Politik siapa cepat dia dapat

Dalam sistem amalan politik Malaysia cara siapa cepat dia dapat (first-past the post) dan pemenang bolot semua (winner takes all), Umno cuma perlu dapatkan 24 kerusi untuk mencapai angka 112 kerusi, untuk melepasi tiang first-past-the-post, sebagai syarat majoriti mudah dan layak membentuk kerajaan.

Jumlah 24 kerusi ini boleh dari mana-mana parti lain yang sanggup 'menjual diri mereka' kepada Umno. Umno, sebagai sebuah parti yang dominan, ada hak untuk pick and choose apa dan siapa yang mereka mahu. Dan Umno semestinya tidak ketandusan pilihan (not short of options).

Secara matematik, Umno boleh mengguna pakai pelbagai kombinasi untuk mencapai angka ajaib 112. Memang sedia maklum, kombinasi sedi ada BN sudah menghasilkan 134 kerusi.

Bagaimanapun, ditakdirkan parti komponen kecil BN kini berpakat merajuk, secara hipotetikalnya, Umno masih mampu bergabung dengan PKR, boleh menghasilkan 118 kerusi, manakala gabungan Umno+DAP pula menghasilkan 125 kerusi. Tetapi gabungan Umno+PAS belum tentu menghasilkan 112 untuk membentuk kerajaan, tanpa merayu belas ihsan komponen parti lain.

Adakah Umno akan terus dominan?

Tidak! Umno tidak akan terus dominan. Budak sekolah menengah pun tahu membaca. Dan strategis Umno tentunya amat arif bab ini.

Kalaulah diumpamakan Umno ini sebuah syarikat pelaburan, pelabur sudah mula membaca trend menurun saham ini. Tahap sokongan undi popular yang asyik menurun dari tahun ke tahun. Tahap resistance juga terenjat dan graf menunjukkan ke arah menguncup dan konsolidasi menuju 2018.

Itulah petunjuk nilai saham Umno. Pelabur sudah mula berfikir untuk cash out dan diversifying their investment, sebelum pelaburan menjadi buluh kasap.

Jadi, pencongak dan pencatur Umno harus memikirkan sesuatu untuk proses pemulihan. Dan Umno harus mula melihat kepada pelabur baru. Atau pemegang saham yang baru.

Dan, di sinilah Umno melihat kepada PAS sebagai rakan kongsi yang baru yang banyak potensi.

Umno yang tidak perlukan PAS

Secara logiknya, adalah lebih berbaloi untuk Umno bergabung dengan PBB dan serpihan parti Bumiputra dari Sabah dan Sarawak. Kerana ini akan menjamin undi tetap Barisan Nasional (BN) yang menguntungkan Umno. PAS tidak memberi sebarang nilai tambah sebegini untuk Umno.

Malah, daripada berkawan dengan PAS, adalah lebih munasabah untuk Umno bergabung dengan DAP saja. Bukan saja boleh menyumbang 37 kerusi, menjadikan kombinasi Umno-DAP sebanyak 125 kerusi, sudah cukup untuk membentuk kerajaan tanpa parti lain. Lagi satu, kerjasama dengan DAP akan menjamin undi tetap kaum Cina yang solid bersama DAP. Dan ini tentunya akan menguntungkan Umno. PAS tidak memberi nilai tambah sebegini untuk Umno.

Sebaliknya PAS tidak mampu memberi apa-apa nilai tambah untuk Umno. Kalau Umno menerima PAS, Umno yang perlu banyak berkorban, demi PAS. Berkorban cinta dengan 'madu-madunya' yang lain, berkorban perasaan dan syak wasangka ahli Umno, berkorban prinsip, dan berkorban agihan kerusi. Ini semua tidak masuk akal.

Untuk terus dominan, bukan saja Umno yang perlu kekal dominan, tetapi BN juga harus tidak tergugat. Umno memerlukan BN lebih daripada Umno perlukan PAS. Segala yang ada dalam PAS, bukan saja sudah ada dalam Umno, malah lebih hebat daripada apa yang PAS ada. Melayu, Islam, program wasatiyah, sayap ulamanya, penerapan nilai Islamnya, pengiktirafan dunia Islam antarabangsanya. Segala-galanya. Hakikatnya, tidak ada sebab kenapa Umno perlukan PAS. Tetapi masih ada yang belum sempurna dengan Umno, ada benda yang PAS ada, dan tidak dipunyai orang lain.

PAS ada PR. Inilah yang membuatkan PAS lebih menawan dan rupawan berbanding dengan parti komponen sedia ada dalam BN.

Kenapa Umno sangat perlukan ihsan PAS?

Cuma satu saja sebab kenapa sangat Umno perlukan PAS. Bukan sangat demi mempertahankan kalimah Allah, atau ketuanan Melayu dan Islam. Bukan juga kerana mahukan perlaksanaan hudud, qisas atau takzir dan seumpamanya.

Tujuan dan motivasi utama Umno hanyalah satu. Untuk kekalkan dominasi sedia ada nyah pesaing yang bakal ujud. Cara yang paling berkesan ialah dengan memporak-perandakan PR. Bila sudah porak-peranda, huru-hara dan rakyat sudah hilang keyakinan, rakyat tidak akan lagi menaruh harapan kepada PR sebagai pencabar utama kepada Umno. Umpama sebuah strategi perniagaan, inilah strategi serampang 2 mata bagi Umno. Strategi mengekalkan dominasi dan monopoli dan juga menyahkan pesaing utama.

Tentunya topik perbualan rakyat di kedai kopi di Baling ataupun di lobi hotel lima bintang di Bukit Bintang, akan berputar kepada betapa porak-perandanya PR. Tidak lagi kepada GST, 1MDB, kapal selam, Altantunya, lembu, ataupun bagaimana korup dan tidak kompetennya Umno. Dalam bahasa Inggeris, "the spotlight is on the PR, not on Umno". Dengan ini, Umno akan selamat dan terus dominan.

Inilah yang sangat diperlukan Umno. Untuk terus kekal dominan. Dan Umno sangat perlukan ihsan PAS untuk ini.

Tanpa PAS, siapalah Umno.

* Penulis ialah pengkaji dan penganalisis sosiopolitik dengan Strata Consulting, sebuah badan pemikir dan advokasi dalam bidang Kajian Strategik dan Analisa Unjuran.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...