TERKINI :

Thursday, April 9, 2015

Politik wang musuh nombor 1 negara, kata menteri


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low bercakap mengenai amalan rasuah dalam institusi kerajaan ketika ditemubual di pejabatnya, baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 9 April, 2015.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low bercakap mengenai amalan rasuah dalam institusi kerajaan ketika ditemubual di pejabatnya, baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 9 April, 2015.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low berkongsi wawasan beliau mewujudkan Malaysia lebih baik sempena genap 2 tahun tempoh perkhidmatannya Mei ini dalam satu temu bual eksklusif dengan The Malaysian Insider.

Dalam laporan terakhir daripada 3 bahagian ini, Low bercakap mengenai politik wang sebagai “kryptonite” Malaysia, memberi amaran jika amalan rasuah tidak dihapuskan dalam institusi kerajaan, negara tidak akan makmur.

Hakikat yang rasuah merupakan satu masalah dalam banyak situasi di Malaysia tidak dapat dinafikan, tetapi bagi menteri yang bertanggungjawab dalam soal Tadbir Urus, Integriti dan Hak Asasi Manusia Low, politik wang kekal sebagai penghalang terbesar dalam usaha menjadikan kerajaan lebih telus dan terbuka.


"Melalui rasuah kecil, anda membayar polis, atau anda membayar seseorang untuk membuka fail, misalnya, tetapi apa yang lebih serius ialah rasuah berkaitan 'state capture’.

"Pada dasarnya, di sinilah mereka yang berkuasa – ahli politik, penjawat awam dan sebagainya – mencari jalan bagi mengeksploitasi kelemahan pihak kerajaan atau meninggalkan amalan baik dan wajar dalam kerajaan dan memperoleh tender atau lesen untuk diri sendiri.

"Mereka menguasai jentera kerajaan untuk kepentingan diri sendiri, atau untuk kepentingan ahli keluarga atau memberi keuntungan kepada proksi atau penyokong mereka, dalam kes politik," kata Low kepada The Malaysian Insider.

Menggelarnya 'unholy alliance' (pakatan tidak suci) antara politik dan dunia korporat, Low berkata politik wang ialah masalah terbesar yang melumpuhkan negara dalam matlamatnya menjadi sebuah kerajaan bebas rasuah.

"Di Malaysia tidak ada undang-undang atau peraturan yang ketat mengenai pembiayaan politik atau kempen politik. Hakikatnya, mana-mana kerajaan yang berkuasa memerlukan wang untuk pilihan raya, jadi dari mana mendapat wang ini... anda mendapatkannya daripada perniagaan.

"Inilah perikatan tidak suci antara perniagaan dan politik,” katanya.

Beliau berkata, di Malaysia, kebanyakan syarikat korporat memberi sokongan kewangan kepada kedua-dua bahagian politik, tetapi undang-undang sedia ada tidak memerlukan parti politik mengisytiharkan sumber dana mereka.

"Ahli perniagaan perlu menutup mulut supaya mereka tidak didenda oleh kerajaan. Ramai yang memberi kepada kedua-dua pihak, dengan harapan apabila individu itu mendapat kuasa, ketika itulah mereka menghendaki orang yang sama berpihak kepada mereka.

"Di situlah rasuah politik dan institusi ekonomi datang bersama, dan di situlah kita mengalami 'state capture'.

"Isu politik wang merupakan salah satu cabaran terbesar yang saya perlu tangani," katanya.

Beliau berkata di negara yang mempunyai politik lebih matang, perkara itu diatasi melalui pembiayaan kerajaan di mana parti politik hanya dibenarkan mendapatkan pembiayaan kempen daripada dana negara.

Bagaimanapun, kata Low, di Malaysia, kedua-dua kerajaan dan pembangkang tidak sepenuhnya menyukai dana negara.

"Kedua-dua pihak tidak mahu pembiayaan negara kerana Pakatan Rakyat juga mempunyai penyokong mereka, dan ramai penyokong mereka juga penyokong Barisan Nasional.

"Semua ini didiamkan dan tidak bertulis, tetapi anda boleh meneka daripada kontrak yang diberikan dan sebagainya," katanya.

Low berkata, oleh kerana negara belum bersedia menerima pakai pembiayaan negeri, perkara terbaik seterusnya mewujudkan pertukaran dana yang lebih telus antara dunia korporat dan entiti politik.

"Isunya ialah, saya tidak boleh berurusan dengan pembiayaan politik, jadi saya perlu mengadakan semua perlindungan daripada akibatnya," katanya.

Langkah perlindungan ini termasuk memastikan ketelusan dalam pengurusan operasi kerajaan seperti tender terbuka, dan juga cuba untuk mewujudkan persekitaran lebih terbuka untuk dana politik.

"Hari ini, pembiayaan diberi kepada individu dalam parti. Anda tidak pasti sama ada anda membayar dia atau parti, atau sama ada terdapat sebarang balasan yang dijangkakan daripada bayaran.

"Satu cadangan yang kita dibuat ialah individu tidak dibenarkan menerima pembiayaan politik, semuanya mesti disalurkan kepada parti. Apabila ia diberi kepada parti, ia akan bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sekarang juga sedar keperluan menerima pakai amalan yang lebih telus, dan percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan kesungguhan politik untuk berubah.

Bagaimanapun, mengubah cara berfikir dan kaedah operasi agensi kerajaan yang sudah lama berakar umbi akan mengambil masa.

"Rasuah dan keadilan sosial merupakan isu penting bagi pengundi pada kedua-dua pilihan raya sebelum ini.

"Sebelum ini kita lebih mengambil berat tentang pembangunan, seperti berapa banyak sekolah yang ada, dan sebagainya.

"Tetapi terdapat perubahan di kawasan bandar.

"Rakyat hari ini lebih prihatin mengenai hak, integriti dan tadbir urus yang baik, mungkin kerana dalam setiap masyarakat apabila anda mencapai tahap pembangunan tertentu, anda tidak lagi lapar. Jadi anda lebih memikirkan isu yang mempunyai kaitan dengan hak demokrasi," katanya.

Sebagai bekas presiden Transparency International Malaysia, Low berkata beliau menyedari kepentingan tadbir urus yang baik dalam pembangunan ekonomi negara, dan memberi amaran Malaysia tidak boleh berkembang ke tahap pendapatan tinggi sehingga rasuah dihapuskan dalam kerajaan.

"Jika anda melihat negara yang maju daripada segi ekonomi, mereka mempunyai budaya tidak bertoleransi terhadap rasuah dalam pentadbiran. Negara runtuh bukan kerana ekonomi, tetapi kerana rasuah.

"Ia bukan sekadar satu kes mudah memberi rasuah. Ia adalah satu imperatif ekonomi,” katanya. – 9 April, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/politik-wang-musuh-nombor-1-negara-kata-menteri#sthash.F5IYfhV4.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...