TERKINI :

Thursday, April 23, 2015

PKR lancar kempen 'Jangan Cukai Anak Kita'

 
PKR hari ini melancarkan kempen 'Jangan Cukai Anak Kita' berikutan barangan keperluan asas kanak-kanak turut dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menurut Pengarah Strateginya Sim Tze Tzin, barangan keperluan asas termasuk kos konsultasi perubatan dan vitamin kanak-kanak turut dikenakan cukai GST sehingga membebankan ibu bapa khususnya daripada golongan muda.

Antara barangan keperluan yang dikenakan cukai itu ialah susu, lampin pakai buang, vitamin, syampu kanak-kanak dan losyen.

"Empat kategori yang kami cadangkan ialah kos konsultasi, barangan perubatan dan vitamin kanak-kanak, barangan kebersihan kanak-kanak, peralatan asas kanak-kanak dan susu kanak-kanak.

"Perkara ini boleh dijalankan. Kita tidak sepatutnya mengenakan cukai pada anak-anak kita. Secara purata, sebanyak RM120 sebulan GST yang perlu dibayar untuk keperluan kanak-kanak.

"Ini memberi bebananan kepada ibu bapa dengan segala perbelanjaan lain," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, kempen itu bertujuan mendesak kerajaan meletakkan empat kategori barangan kanak-kanak bawah lima tahun kepada pembekalan berkadar sifar (zero-rated supply).

Mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan bahawa harga barangan akan turun selepas pelaksanaan cukai itu, Sim berkata, berdasarkan pemerhatiannya tiada harga barangan yang turun termasuk lampin pakai buang.

Sehubungan itu, beliau yang juga MP Bayan Baru menggesa Ahmad supaya mengemukakan senarai barangan yang sebelum ini didakwa mengalami penurunan harga.

"Tidak benar harga barang dah turun. Saya tak nampak turun harga. Dia kata 486 barangan akan turun harga lepas GST. Kita minta mana 486 barangan yang turun harga itu.

"Tunjukkan bukti tersebut. Ini adalah mengenai ekonomi rakyat. Jangan cakap barang turun dan GST tidak membebankan rakyat. Itu tidak benar," katanya.

Sementara itu ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail pula berkata, kerajaan perlu menjalankan kajian secepat mungkin supaya barangan keperluan kanak-kanak tidak dikenakan GST.

"Seorang kanak-kanak perlu susu sehingga enam tahun untuk pembesaran. Kalau GST dikenakan pada susu, bagaimana anak-anak nak dapatkan sumber protein dan kalsium.

"Di tempat saya, ada orang mengadu terpaksa menukar susu anaknya kepada susu pekat manis sebab nak jimat. Mereka ambil pilihan ini sebab tak ada pilihan lain memandangkan cukai yang dikenakan," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...