TERKINI :

Wednesday, April 15, 2015

Petronas nafi potong gaji, berhentikan pekerja

Syarikat pengeluar minyak negara, Petronas menafikan bahawa syarikat itu memotong gaji dan memberhentikan kakitangannya bagi menghadapi kejatuhan harga minyak di pasaran dunia.

Laporan Reuters, memetik kenyataan ketua eksekutif Petronas, Wan Zulkiflee Wan Ariffin menyebut laporan media yang mendakwa demikian adalah tidak benar.

“Itu laporan salah. Tiada potongan gaji dan langkah memberhentikan kakitangan Petronas,” kata Wan Zulkiflee seperti dipetik dalam laporan Reuters.

Beliau merujuk kepada satu laporan SunBiz bahawa satu anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn Bhd akan mengurangkan gaji kakitangan sebanyak 20 peratus ekoran kejatuhan harga minyak.

Laporan SunBiz itu berdasarkan satu memo dalaman Petronas Carigali yang didakwa menyebut bahawa pengurangan gaji itu akan berkuatkuasa pada 1 Mei.

Laporan itu timbul susulan kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman bahawa kerajaan negeri Sabah akan mengambil alih operasi cari gali telaga minyak di Sandakan.

Musa dalam ucapan di DUN Sabah, Isnin lalu berkata, ia bagi meraih keuntungan lebih besar kepada negeri tersebut.

Katanya, kerajaan negeri tidak mahu terlalu bergantung harap kepada pencarian ekuiti semata-mata.

Kenyataan itu berhubung tuntutan agar kerajaan negeri mendapat bayaran royalti lebih besar dari Petronas ekoran penemuan 16 telaga minyak baru .

"Bukan saja kami (kerajaan negeri) minta penambahan royalti (minyak) tetapi juga minta Marginal Field di Sandakan yang telah diluluskan oleh Petronas.

“Kami mahu ambil alihnya," tegas musa.

Petronas yang menyumbang kepada hasil minyak dan gas negara terpaksa mengurangkan perbelanjaan modal dan perbelanjaan dalam negaranya tahun ini.

Syarikat itu menerbitkan bon dan sukuk pada Mac untuk memungut modal berjumlah US$17 bilion.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...