Hadi Awang  
Abdul Hadi berucap pada program Bicara Minda, "Hudud Dari Kaca Mata Hadi" di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di Shah Alam, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN

SHAH ALAM – Hukuman terhadap pelaku rasuah bukan potong tangan seperti perbuatan mencuri mengikut hukum hudud sebaliknya diadili melalui hukum ta’zir.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, meskipun perbuatan menerima dan memberi rasuah itu salah namun, mencuri tetap menerima hukuman lebih berat kerana mengambil harta orang lain tanpa kerelaan pemiliknya.

“Adakah rasuah termasuk dalam mencuri? Tidak. kerana mencuri ada takrif. Ulama takrifkan mencuri adalah mengambil harta orang secara senyap tanpa pengetahuan tuannya dari tempat simpannya. Itu mencuri.

“Rasuah ini takrifnya lain. Itu kerana kita mahukan sesuatu daripada pihak yang berkenaan. Kita bayar, sogokan pada dia. Itu rasuah. Maka, hukumnya lain. Kedua-duanya salah,” katanya ketika menjawab soalan penonton pada program ‘Hudud Dari Kaca Mata Hadi’ dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian, di sini, semalam.‎

Mengulas lanjut, beliau berkata, perbuatan mencuri lebih teruk daripada rasuah kerana rasuah itu diberi dengan persetujuan pemberi.

“Di mana kita menganggap mencuri itu penyakit masyarakat yang tidak ada ubat melainkan dengan ini sahaja kerana individu yang mencuri ini mengambil harta orang dengan cara yang mudah. Ambil titik peluh orang. Mengikut Islam, tidak ada ubat lain.

“Mencuri ini, parahnya mengambil harta orang lain, daripada simpanan orang itu...yang lebih teruk daripada rasuah. Rasuah ini yang tukang beri rasuah reda tapi Tuhan tak reda. Dua-dua itu salah belaka. Yang mencuri ini tidak. Tuannya tidak reda hartanya diambil. Sebab itu hukuman kepada pencuri sangat keras,” katanya.

Menurutnya, hukuman penjara yang dikenakan mengikut undang-undang sekarang ini tidak menyelesaikan masalah pencuri malah mereka akan mengulang kembali perbuatan tersebut selepas dibebaskan.

“Islam mengatakan ubatnya potong tangan. Undang-undang yang ada hari ini, penjara. Apabila dipenjara, mereka makan percuma. Kemudian keluar, duduk di luar susah katanya. Mencuri balik. Itu yang pertama.

“Kedua, apabila dipenjara, isteri dan anaknya siapa yang jaga? Tidak ada. Menyebabkan jadi gejala sosial pula. Kalau potong tangan, dia akan di rumah, ada jaminan daripada kerajaan beri kerja untuknya yang munasabah.

“Ketiga, apabila dia dipenjara, dia bertemu 100 pencuri lain...dia buat seminar dalam penjara. Bertukar fikiran,” katanya.