empangan pedu  
Sejumlah RM60 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) untuk Projek Pemulihan Menyeluruh Empangan Pedu. - Foto Bernama

KUALA NERANG - Projek pemulihan Empangan Pedu bernilai RM60 juta bakal menyaksikan kira-kira 2,500 hektar sawah padi tambahan dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Kedah dan Perlis.

Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, projek yang dijangka siap September tahun ini akan membantu Mada memasukkan kawasan sawah padi yang sebelum ini bukan di bawah kelolaannya.
  
Beliau berkata, empangan yang beroperasi sejak 1969 sering mengalami beberapa masalah seperti injap empangan tidak berfungsi sepenuhnya yang melambatkan proses penyaluran air ke kawasan sawah padi.
  
"Sebenarnya kita tak mahu tunggu lama untuk selenggara peralatan mekanikal yang lama. Selain kos yang bakal meningkat kita bimbang penyaluran air ke sawah tidak mengikut jadual akibat kerosakan mekanikal.
  

"Penyelenggaraan empangan ini amat penting untuk melancarkan lagi pelepasan air dari empangan ini ke 100,685 hektar sawah padi dalam kawasan Mada di Kedah dan Perlis," katanya selepas melawat kerja-kerja pemulihan empangan hari ini.
  
Suraya berkata, kerja-kerja pemulihan tersebut juga tidak mengganggu jadual pelepasan air oleh Mada yang dijadual Ahad ini (5 April) bagi musim penanaman Fasa 1/2015 hingga akhir bulan ini.
  
Beliau berkata, pelepasan air dibuat selepas kerja-kerja pemasangan peralatan mekanikal seperti injap, pemasangan pintu air, pemasangan terowong saiong yang dilakukan awal Februari lepas siap sepenuhnya esok.
  
Katanya, kerja-kerja pemulihan dilakukan syarikat tempatan menggunakan kepakaran Australia dan tidak memerlukan pihak Mada mengeringkan empangan untuk tujuan itu.
  
Usaha memenuhkan kembali empangan sekiranya dikeringkan akan mengambil masa  lebih dua tahun, katanya.
  
"Teknologi yang diguna sepanjang proses pemulihan empangan ini pertama kali diaplikasi di negara ini dan Asia Tenggara. Kita berharap penggunaan teknologi ini mampu menjadi pemangkin serta contoh kepada empangan lain," katanya. - Bernama