TERKINI :

Saturday, April 4, 2015

PAS laksanakan hudud Allah, bukan hudud politik

Oleh RAYUSA


HINGAR-BINGAR hukum hudud berterusan tanpa (akan) ada kesudahan.Sejak dari menjadi impian PAS untuk melaksanakannya dan ditentang oleh Umno hinggalah parti tua rasuah itu kini menyokong pelaksanaan kanun tersebut di Kelantan.

Namun begitu, ketika Umno bersetuju, rakan komponen PAS dalam Pakatan Rakyat (Pakatan) pula menentang.

Pada 19 Mac lalu, Dun Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hukum hudud, selepas dipersetujui sebulat suara oleh kesemua 44 Adun, iaitu 31 daripada PAS, 12 Umno dan seorang KeADILan yang hadir ketika enakmen tersebut diluluskan.

Ternyata tiada Adun DAP dalam Dun Kelantan. Walau bagaimanapun, DAP yang beria-ia menentang pelaksanaan hudud.

Justeru, PAS Kelantan hairan dengan perlakuan DAP berterusan menghalang usaha mereka melaksanakan hudud di negeri tersebut, padahal perkara itu tidak melibatkan golongan bukan Islam. Malah, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah, usaha itu dijalankan berdasarkan kerangka undangundang dan demokrasi, melalui Parlimen.

Tambah Mohd Amar, beliau telah membangkitkan perkara itu kepada Lim Kit Siang dalam pertemuannya dengan pemimpin popular DAP itu di pejabat PAS di ibu negara sebelum ini.

Kata Amar, Lim Kit Siang hanya membisu. Oleh kerana itu, beliau tidak faham mengapa DAP masih berkeras, melainkan ada agenda tersembunyi, Dalam satu wawancara baru-baru ini, Mohd Amar mengulas pelbagai perkara melibatkan usaha mereka, termasuk kemungkinan usaha itu terkandas di peringkat Parlimen, serta tanggapan awam berkaitan hudud.

Barangkali malangnya penentangan itu bukan berdasarkan tidak memahami, tetapi akibat tiada persetujuan bersama dalam Pakatan Rakyat.

KeADILan juga tidak bersetuju. Parti tersebut mengumumkan bahawa ia tidak akan menyokong rang undangundang persendirian mengenai hudud yang akan dibawa oleh PAS jika dibentangkan di Parlimen.

Parti itu memberi alasan PAS telah mengambil keputusan secara unilateral (sebelah pihak) tanpa pemberitahuan kepada rakan-rakan parti komponen Pakatan dan itu bercanggah dengan keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan gabungan tersebut, 8 Februari lalu.

Keputusan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap penghantaran notis oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 18 Mac lalu yang akan membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II di Parlimen.

Rang undang-undang persendirian

itu bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang akan memberi kesan kepada pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993, iaitu berkaitan pelaksanaan hukuman hudud di Kelantan.

Undang-undang persendirian Kenyataan media bersama parti tersebut berbunyi, “Kami tidak dimaklumkan tentang isi kandungan rang undangundang persendirian tersebut.

Ia dicadangkan secara unilateral tanpa pemberitahuan kepada rakan-rakan parti komponen Pakatan Rakyat dan bercanggah dengan keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015.

“Sekiranya rang undangundang Persendirian tersebut berkaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, KeADILan tetap dengan pendirian asal, iaitu untuk tidak menyokong berdasarkan prinsip Fiqh Al- Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah.

Kenyataan media itu ditandatangani oleh semua pemimpin KeADILan, iaitu presidennya, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail; timbalannya Mohamed Azmin Ali; naib presiden, Nurul Izzah Anwar dan Shamsul Iskandar Md Akin, Rafizi Ramli; ketua wanita, Zuraida Kamaruddin, dan ketua Angkatan muda KeADILan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Setelah mengiystiharkan pendiriannya, KeADILan menggesa supaya BN memberi penjelasan sama ada menyokong rang undang-undang persendirian tersebut atau tidak.

Ia kerana rang undang-undang persendirian hanya boleh dibahaskan jika diluluskan oleh kerajaan.

“Mengikut Peraturan Tetap Dewan Rakyat, sebarang rang undang-undang hanya akan dibahaskan dengan restu pihak kerajaan.

“Hakikatnya, tidak ada seorang pimpinan tertinggi Umno atau BN pun yang telah membuat kenyataan terbuka dan jelas mengenai pendirian mereka berkenaan rang udang-undang persendirian tersebut jika di bawa ke Parlimen, termasuklah Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Justeru, KeADILan menggesa kerajaan Umno-BN untuk menjelaskan sama ada ia merestui rang undang-undang persendirian tersebut dibahas dan diundi di Parlimen,” tambah kenyataan itu.

DAP sebelum ini telah memutuskan tidak akan menyokong rang undang-undang itu di Parlimen.

KeADILan mempunyai 29 kerusi di Dewan Rakyat, tetapi hanya 28 ahli Parlimen sahaja yang boleh mengundi kerana Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sedang menjalani hukuman penjara. DAP dan PAS masing-masing mempunyai 37 dan 21 kerusi di Parlimen.

Terdapat juga seorang ahli Parlimen Bebas, iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sebelum ini merupakan wakil rakyat KeADILan.

Selain halangan Perlembagaan Persekutuan, kekusutan berterusan kerana BN tidak sepenuhnya menerima pelaksanaan hudud. Jika dalam Pakatan tiada kesepakatan, parti komponen BN juga berbalah mengenainya. Umno sudah menerima, tetapi MCA dan MIC menolak.

Parahnya, apabila BN menganggap rang undangundang persendirian berkaitan hudud yang mahu dibentangkan PAS di Parlimen itu sebagai “hudud politik.” Setiausaha agungnya, Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyifatkan sedemikian.

Ditanya pendirian BN berhubung hasrat PAS itu, beliau berkata, Najib akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu. Bercakap kepada media selepas sebuah acara di Putrajaya, 22 Mac lalu, Tengku Adnan yang juga menteri Wilayah Persekutuan, menegaskan bahawa PAS harus mengikuti Perlembagaan Persekutuan.

Apabila ditanya sama ada usaha PAS bertentangan dengan perlembagaan, beliau hanya menjawab “hudud PAS hudud politiklah.”

Inilah masalahnya sejak dahulu. Apabila hudud cuba dilaksanakan, tetap ada suarasuara sumbang mengatakan itu hudud PAS, bukan hudud Islam. Memang tiada hudud PAS atau hudud politik. Hukum itu datang dari Allah.

Kalau bising dan membantah, di mana hudud BN atau hudud Umno? Tiada pun. Lebih teruk lagi, cita-cita untuk melaksanakannya pun tidak pernah ada.

Pada 23 Mac lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz menganggap orang yang membincangkan soal hudud di Malaysia adalah orang bodoh.

Kenyataan tersebut lebih memburukkan keadaan. Menteri BN yang lain dan perdana menteri pula masih belum menyentuh berhubung pendirian mereka dalam isu hudud walaupun Adun BN Kelantan menyokong usaha PAS itu.

Kabinet telah bermesyuarat mengenai hudud di Kelantan, tetapi laporan menunjukkan bahawa menteri daripada Umno dan MCA berbeza tanggapan mengenai hasil mesyuarat tersebut. Jemaah menteri daripada Umno juga bersetuju dengan sokongan wakil parti itu terhadap pindaan undangundang tersebut.

Hukum Allah

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan Umno memang amat bersetuju undang-undang tersebut diluluskan kerana ia merupakan hukum Allah yang menuntut kita memberikan sokongan.

Tidak timbul soal Umno menentang hukum Allah, tambahnya yang juga naib presiden Umno. Cuma, pelaksanaannya perlu ditingkatkan.

Umno, kata Shafie, turut bersetuju supaya perkara itu diulas dengan terperinci kepada umum oleh jurucakap yang dilantik parti.

Walau bagaimanapun, laporan Sin Chew Daily mengenai mesyuarat yang sama menunjukkan keretakan dalam gabungan parti pemerintah itu berhubung isu tersebut.

Ia memetik Presiden MCA, Dato’ Seri Liow Tiong Lai memberi versi yang berbeza.

Menteri Pengangkutan itu mendakwa kebanyakan jemaah menteri menentang hudud kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Akhbar harian berbahasa Cina itu berkata dalam perbincangan, Liow mengulangi pendirian MCA menolak hudud dan menggesa kabinet supaya memelihara perlembagaan.

Beliau dipetik sebagai berkata kabinet menekankan bahawa rang undang-undang hudud yang dibentangkan oleh kerajaan Kelantan tidak mengikut semangat Perlembagaan Persekutuan dan bercanggah dengan perlembagaan itu.

Liow juga dilaporkan berkata kabinet amat memandang berat isu tersebut dan mahu mengendalikan dengan teliti “konspirasi” PAS. Sementara itu, Sin Chew Daily turut melaporkan bahawa 13 parti komponen BN sedang merangka satu kenyataan bersama untuk menyatakan dengan tegas pendirian mereka menentang pelaksanaan hudud di negara ini.

Laporan itu berkata kenyataan bersama yang jarang dibuat oleh parti komponen BN menunjukkan mereka memandang serius soal hudud dan kesannya terhadap masyarakat.

Parti-parti komponen itu juga percaya hudud bercanggah dengan perlembagaan dan menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum Malaysia.

Sementara itu, isu hudud ini sedikit sebanyak membuktikan ketegasan PAS hingga seolaholah sanggup kehilangan rakan dalam Pakatan. Memang menyedihkan andainya Pakatan berpecah kerana jalan ke Putrajaya beronak duri semula.

Pada 24 Mac lalu, pemimpinpemimpin tertinggi PAS mengkritik keputusan DAP untuk memutuskan hubungan dengan Hadi ekoran kontroversi pelaksanaan hudud di Kelantan.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu @ Mat Sabu mengingatkan agar penyelesaian segera perlu diambil atau krisis akan semakin meruncing.

Tambah pemimpin kanan PAS yang dilihat paling rapat dengan DAP itu, sebarang tindakan memutuskan hubungan dengan beliau memberi suatu impak yang buruk kepada PAS.

Beliau penuh yakin biar sekusut mana pun hubungan, kalau ada kesungguhan untuk terus berada dalam Pakatan, pasti jalan penyelesaiannya akan ditemui.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Hadi. Mereka bagaimanapun mahu kekal dalam Pakatan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula menyifatkan keputusan DAP itu “bukan jalan penyelesaian terbaik,” sebaliknya mewujudkan situasi “rumit dan sukar” pada mereka.

Kata Salahuddin, Hadi adalah presiden beliau dan presiden lebih sejuta ahli PAS.

Beliau masih yakin berdasarkan pengalaman suka duka bersama Pakatan, sebesar dan sekusut mana pun masalah yang pernah dihadapi, medan atau platform terbaik untuk berbincang dan membuat keputusan secara kolektif adalah mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan.

Ketua Penerangan PAS, Dato’ Mahfuz Omar pula mempersoal tindakan DAP itu memandangkan Hadi antara yang berhak mewakili PAS dalam mesyuarat bersama Pakatan.

Ini bercanggah dengan prinsip bersama, iaitu Majlis Presiden Pakatan Rakyat, diwakili oleh pimpinan tinggi parti. Mahfuz berpendapat ia tidak wajar dibuat kerana berlapang dada dan berjiwa besar adalah lebih baik.

Justeru, Ahli Parlimen Pokok Sena tersebut menyarankan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali agar menetapkan tarikh bagi kepimpinan PAS menentukan sikap berhubung keputusan DAP itu.

Mengenai kenyataan panas Nazri, Mahfuz mengingatkan menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu agar tidak bersikap angkuh. Beliau mahu Nazri menarik balik ungkapan “bodoh”.

Tegas Mahfuz, PAS membantah dan menyatakan rasa kesal atas kenyataan Nazri itu. Kenyataan tersebut bersifat menghina pihak yang memperjuangkan perlaksanaan syariat Allah menerusi jalan demokrasi.

Kenyataan Nazri itu memang aneh dan melampau kerana subjek hudud turut diajar di universiti, pusat pengajian ilmu, dan masjid oleh para mufti, cendekiawan serta ilmuan Islam. Adakah menteri itu ingin mengatakan mereka semua bodoh? Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah tersebut telah mendapat kelulusan Sidang Dun Kelantan selepas melalui proses demokrasi yang telus dan terbuka.

Jadi, tegas Mahfuz, Nazri tidak perlu bersikap anti demokratik.

Adakah perbincangan untuk melaksanakan perkara mulia yang merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam itu juga salah?

Tambah Mahfuz, Nazri sendiri baru-baru ini menerima Anugerah Doktor Kehormat dari Universiti Islam Pattani, Thailand. Subjek perundangan Islam pasti turut diajar di universiti tersebut. Justeru, adakah mereka di universiti tersebut dikatakan bodoh juga pada hemat Nazri? Jika mereka bodoh, maka beliau pun menjadi bodoh juga kerana menerima anugerah dari universiti yang bodoh.

Sehubungan itu, PAS mendesak Nazri menarik balik kenyataannya. Kata Mahfuz, kita jangan berlagak mendongak langit sedangkan alam semesta yang dihuni ini ciptaan Allah.

Beliau menyatakan kebimbangan jika selepas ini mahu bermimpi undang-undang Islam terlaksana pun tidak boleh kerana ia dikategorikan sebagai perkara bodoh (pada pandangan Nazri). Salahuddin Ayub

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...