TERKINI :

Saturday, April 4, 2015

OKZ13 : Bukan sekadar beri kenyataan, tetapi bantulah mereka - Mat Sabu



SEJAK disumbat ke penjara Kajang pada 18 Mac lalu ada yang mengatakan nasib 13 Orang Kena Zalim (OKZ) yang juga peserta demonstrasi membantah rampasan kuasa Perak, ramai pihak yang umpamakan mereka ini sebagai wira yang tidak didendangkan. Namun sebalik penderitaan mereka ditahan, terdapat 13 keluarga yang mereka tinggalkan sementara duduk di tirai besi yang terpaksa menanggung beban berikutan ketiadaan mereka.

Apakah nasib mereka ini dipedulikan oleh parti-parti politik khususnya Pakatan Rakyat? Menjawab persoalan itu, Wartawan Kanan Harakah ROY RASUL menemubual Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, pada 23 Mac lalu untuk mengupas isu itu.

WARTAWAN: Sekarang ini nasib tiga belas pejuang pasca rampasan kuasa Perak pada Februari 2009 ditahan di penjara Kajang, Selangor. Bagaimana saudara melihat perkembangan ini?

MOHAMAD SABU: PAS akan terus membuat program-program untuk membela tiga belas yang dipenjarakan itu. Mereka itu orang yang pertahankan perlembagaan dan pejuang demokrasi. Mereka ini seolaholah ‘dizalimi’ Kerajaan BN.

Oleh itu kita akan buat program terutamanya untuk keluarga mereka yang terseksa akibat didakwa dan ditahan di penjara. Ingin saya tegaskan sekali lagi, mereka itu pejuang demokrasi bukan militan. Mereka pertahankan perlembagaan Malaysia dan demokrasi serta keputusan rakyat Perak.

Bagaimana PAS melihat soal nasib keluarga tahanan yang pastinya akan terkesan dengan penahanan ini?

Benar, mereka terkesan dan saya sendiri pernah alaminya sebelum ini (beberapa kali ditahan ISA dan kes-kes lain).

Bagi PAS mesti kita bela nasib mereka ini contohnya esok (24 Mac) kita ada program di Shah Alam, Selangor bagi mencari sumbangan untuk meringan bebanan keluarga mereka. Saya sendiri akan ke Perak untuk membuat program di sana juga untuk mengutip dana bagi meringankan kesengsaraan mereka.

Dengan ini, kita menyeru orang ramai juga sama-sama membantu ‘Tabung Kena Zalim’ (OKZ) untuk meringankan keluarga mereka yang berada di luar penjara. Yang di penjara itu lainlah kerana mengikut undangundang penjara. Namun orang yang di luar penjara inilah yang menderita.

Isu isu begini hanya menjadi bahan kenyataan media berbanding lebih ramai pihak dalam parti untuk mobilisasi isu dan mengerakkan Dana Bantu keluarga. Apa pandangan saudara?

Saya akan turun gelanggang dan tidak hanya memberi pandangan contohnya di Shah Alam dan di Perak serta tempat lain. Ini kerana kita membantu mereka ini hendaklah berterusan biarpun apa pun suasana dalam Pakatan Rakyat.

Apa ruang yang boleh digunakan bagi membebaskan kesemua tahanan ini, bagaimana kempen?

Mereka sudah pergi ke mahkamah yang paling tinggi, cuma di peringkat kita sekarang ini kita membantu keluarga mereka. Sekurang-kurangnya untuk membantu mereka.

Cara lain tidak ada melainkan jika mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Mereka umpama wira rakyat wira tanpa nama, mereka tidak kejar jawatan namun nasib mereka dipandang sepi apa pandangan saudara?

Ya mereka wira rakyat, wira demokrasi, wira pertahankan perlembagaan. PAS akan terus membela mereka dan orangorang yang tidak berjawatan selalunya kadang-kadang dilupakan. Dan kita akan adakan program di Shah Alam dan kita harap semua orang akan datang. Kita akan membuat kutipan, ucapan dan membuat pembelaan kepada kaum keluarga mereka.

Baru-baru ini melalui media sosial, salah seorang isteri mangsa mencadangkan kepada penganjur aksi #kitalawan supaya memfokos kepada isu rakyat bukan untuk solidari kepada ahli politik.

Ini menampakkan seolaholah mereka tidak mahu lagi menggunakan pendekatan politik.

Jadi apa pandangan saudara?

Itu hak mereka, tetapi PAS sebagai parti politik kita tetap memberi sokongan sebab ia perjuangan rakyat ataupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) pun kita akan menyokong.

Mereka tidak mahu guna itu hak mereka tetapi kita tetap menyokong dan membela orang yang dizalimi tidak kira daripada parti mana ataupun tidak berparti.

Nasihat untuk keluarga mereka.

Saya harap keluarga mereka bersabar dan ingat suami atau keluarga mereka bukan sebagai seorang penjenayah. Ingat mereka adalah pejuang atau pembela demokrasi dan perlembagaan dan jangan anggap masuk penjara itu semua penjenayah.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...