TERKINI :

Friday, April 17, 2015

Naib Presiden UMNO pulak kenen Mukhriz bab sokongan pada PM

Isu Umno Kedah tidak libat parti secara keseluruhan, kata Zahid

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata apa yang berlaku itu bukanlah permasalahan dan pendirian Umno negeri dan parti. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 April, 2015.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata apa yang berlaku itu bukanlah permasalahan dan pendirian Umno negeri dan parti. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 April, 2015.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan isu sokongan Umno Kedah dan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak melibatkan Badan Perhubungan Umno negeri itu secara keseluruhan.

Sambil menasihatkan isu itu perlu diselesaikan segera, Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata apa yang berlaku itu bukanlah permasalahan dan pendirian Umno negeri dan parti.

"Ia cuma pendirian peribadi seseorang pemimpin. Saya tidak fikir kita harus jamakkan permasalahan seseorang itu dengan sesebuah organisasi.

"Pada hemat saya, tidak ada pilihan melainkan menyelesaikan masalah ini kalau mahu melihat parti dan kerajaan diberi kesinambungan dalam pemilihan yang akan dilakukan oleh rakyat keseluruhannya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang di Butterworth hari ini.

Baru-baru ini Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lada, Kedah Datuk Ahmad Lebai Sudin mengeluarkan kenyataan mendesak Mukhriz untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar jika gagal menyatakan sokongan terhadap perdana menteri.

Mukhriz sebelum ini berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi tentang pendirian Umno Kedah terhadap kepimpinan Najib pada 24 April di Kuala Lumpur selepas bermesyuarat dengan kesemua pemimpin Umno negeri itu.

Zahid berkata, seseorang pemimpin itu memerlukan sokongan dan taat setia tanpa berbelah bahagi yang perlu diterjemahkan dalam mana-mana era kepimpinan.

Beliau berkata, setiap ahli parti perlu bersama-sama dalam menangani isu yang timbul bagi meningkatkan kebolehpercayaan dan kebergantungan rakyat kepada kerajaan.

"Rakyat tentunya meletakkan harapan kepada sesebuah organisasi apatah lagi parti politik yang boleh menangani permasalahan semua sekali... apatah lagi organisasi yang diwakilinya untuk membentuk sebuah kerajaan yang boleh diberikan kebergantungan oleh rakyat," katanya. – Bernama, 17 April, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/isu-umno-kedah-tidak-libat-parti-secara-keseluruhan-kata-zahid#sthash.agZJ5Wzn.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...