TERKINI :

Wednesday, April 15, 2015

Mukhriz terus ditekan untuk nyatakan sokongan pada PM

Laman pro-Umno gesa Mukhriz 'bijak politik'

Ketika bapanya terus-menerus melepaskan kritikan terhadap Datuk Seri Najib Razak, bahang terus memuncak dirasai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz.

Terbaru, sebuah laman sesawang Umno menegaskan Mukhriz tidak mempunyai sebarang pilihan kecuali menyatakan sokongan padu kepada perdana menteri atau Umno Kedah bakal berdepan perebutan kuasa.

Sebagai Ketua Perhubungan Umno Kedah dan menteri besar, MyKMU.net berkata Mukhriz wajib berada di belakang presiden parti dan perdana menteri.

"Mukhriz tidak boleh memberikan pandangan peribadi. Dia mewakili semua ahli Umno Kedah. Justeru tidak wajar untuk beliau memberi tumpuan kepada pendirian peribadi," lapor laman sesawang itu.

Mengenai persoalan dibangkitkan Dr Mahathir Mohamad mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata MyKMU, Mukhriz boleh mendapatkan penjelasan lengkap daripada kerajaan pusat.

Menurut penulis laporan itu, adalah lebih baik untuk Mukhriz bersikap ‘bijak politik’ demi kepentingan rakyat.

"Perkara yang hanya berfaktakan hearsay (cakap-cakap) tentang 1MDB dan kes jenayah Sirul Azhar, apatah lagi terbit dari mulut pembangkang seperti Rafizi (Ramli) dan Mahfuz (Omar), rasanya tidak perlu dipercayai sangat," katanya.

Bagaimanapun, kata penulis itu, jika Mukhriz mahu menyokong bapanya dan mengutamakan kepentingan peribadi, beliau perlu sedar terhadap kesan negatif yang akan ditanggung Umno, terutama di Kedah.

"Saya yakin beliau sedar tentang kesan-kesan yang terpaksa dihadapi. Selain kesan peribadi yang perlu Mukhriz terima, kesan lain seperti meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah dan menteri besar juga perlu dihadapi.

Siapa yang rugi? Selain Mukhriz sendiri, warga Umno dan rakyat Kedah juga rugi kehilangan ikon harapan, bukan?" katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...