TERKINI :

Thursday, April 23, 2015

'Jangan mudah keluar hukum haram calon tolak hudud'

Pandangan bahawa haram dan berdosa mengundi calon yang menolak hudud dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh seperti yang dinyatakan seorang pemimpin akar umbi PAS, perlu dikaji lebih mendalam, kata Dr Zaharuddin Abd Rahman.

Pengerusi Pertubuhan Multaqa Asatizah itu berkata sesuatu hukum agama tidak boleh dijatuhkan dengan mudah tanpa penerangan terperinci kerana akan mengelirukan masyarakat, lapor Sinar Harian hari ini.

"Sememangnya akan jatuh haram menyokong calon yang menolak perlaksanaan hudud secara ingkar dalam keadaan dia menyakini hukum itu dari Allah.

"Jika seseorang itu menolak asas hudud seperti potong tangan untuk mencuri, itu bahagian asas hukum yang tidak boleh ditolak.

“Namun jika yang ditolak adalah hukum ranting seperti jumlah yang dicuri atau lain-lain kaedah sabitan bersifat jihad (proses penyelidikan), bagi saya itu belum boleh dianggap tolak hudud serta jadi haram menyokong calon terbabit," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Ketua Urusan Ulama kawasan itu Badrul Abdul Rahman dilapor berkata bahawa ‘haram mengundi calon tolak hudud’.

Hal demikian mengundang kenyataan tegas anggota Majlis Syura PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa pemimpin semua peringkat tidak mencetuskan kontroversi sebaliknya merujuk Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama PAS berkaitan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Zaharuddin berkata hukum haram tidak boleh dijatuhkan jika calon menolak hudud kerana tidak yakin dengan rang undang-undang hudud yang dibuat dalam bentuk kontemporari oleh PAS atau masalah kredibiliti parti itu untuk melaksanakan hudud.

"Maknanya sesiapa yang tidak menolak hudud tidak perlu risau," Dr Zaharuddin dilaporkan sebagai berkata.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...