TERKINI :

Thursday, April 30, 2015

Adakah PasMa bakal ulangi sejarah parti serpihan PAS jika sertai politik..??

PasMa bakal ulang sejarah parti serpihan PAS jika sertai politik

Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi (kiri) pada sesi penggulungan konvensyen khas PasMa baru-baru ini menyatakan satu ketetapan akan diputuskan di peringkat konvensyen PasMa Pusat berkenaan desakan pertubuhan itu menjadi sebuah parti politik yang dijadualkan berlangsung Jun ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 April, 2015.
Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi (kiri) pada sesi penggulungan konvensyen khas PasMa baru-baru ini menyatakan satu ketetapan akan diputuskan di peringkat konvensyen PasMa Pusat berkenaan desakan pertubuhan itu menjadi sebuah parti politik yang dijadualkan berlangsung Jun ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 April, 2015.

Sekiranya Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) memutuskan untuk menyertai politik, sekali gus bekerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR), pertubuhan itu tidak lain hanya akan mengulangi sejarah parti serpihan daripada PAS yang pernah wujud akibat perpecahan dalaman parti Islam itu sebelum ini, kata penganalisis politik tanah air.

Penganalisis mengandaikan, selain tidak mempunyai kuasa dan pengaruh yang begitu kuat seperti PAS untuk menandingi kekuatan DAP dan PKR dalam PR, PasMa sebagai parti politik dijangka hanya akan mampu bertahan untuk sepenggal jika menyertai pilihan raya umum.

"PasMa lebih kepada kumpulan yang berpecah. Kepimpinan PasMa tidak cukup untuk menandingi PAS, pimpinan tertinggi tidak dapat saingi PAS, komposisinya juga jauh untuk menyaingi PAS," kata Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, penganalisis politik dari Universiti Malaya.

"Ia mungkin jadi parti sampingan sementara, seperti Berjasa dan Hamim," katanya, merujuk kepada parti serpihan PAS yang wujud sekitar tahun 1970an hingga 1980an akibat perpecahan dalaman.

Sepanjang penubuhannya, PAS pernah beberapa kali berhadapan krisis, termasuk penubuhan dua parti serpihan iaitu Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim).

Berjasa diasaskan bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Muhamed Nasir, pada 1977 selepas beliau dipecat oleh PAS ketika itu ekoran krisis dalaman parti itu.

Manakala Hamim pula ditubuhkan pada 24 Mac 1983 oleh bekas Presiden PAS Tan Sri Asri Muda, yang meninggalkan parti pada 23 Februari 1983 selepas kegagalan PAS merampas semula kerajaan Kelantan dalam pilihan raya umum 1982.

Mohamad berkata, berbeza dengan Berjasa dan Hamim, kedua-dua parti serpihan itu menerima sokongan Barisan Nasional (BN), namun parti pemerintah itu sudah pasti tidak akan melakukan perkara sama kepada PasMa.

"PasMa mungkin besar untuk sementara waktu, kejutan dalam satu pilihan raya atau pilihan raya kecil, itu boleh berlaku.

"Dalam kes Berjasa dan Hamim, serpihan PAS itu disokong BN, sedangkan PasMa tidak mendapat sokongan BN.

"BN mungkin sokong PAS untuk lihat PR bercelaru. Zamannya lain masa PAS berhadapan dengan Berjasa dan Hamim," katanya kepada The Malaysian Insider.

Tambahnya lagi, sekiranya PasMa bersama PR, suka atau tidak, perlu mengikut telunjuk DAP dan PKR.

"Tapi DAP dan PKR juga sedar, PasMa tidak sehebat PAS. Dalam keadaan itu, PasMa akan mahu tidak mahu, tunduk kepada DAP dan PKR yang lebih besar," katanya.

Konvensyen khas PasMa yang dianjurkan baru-baru ini menyaksikan rata-rata ahlinya mendesak pertubuhan itu menjadi sebuah parti politik.

Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi pada sesi penggulungan konvensyen tersebut turut menyatakan satu ketetapan akan diputuskan di peringkat konvensyen PasMa Pusat yang dijadualkan berlangsung Jun ini.

PasMa ditubuhkan selepas timbul krisis berpanjangan antara PAS dan dua sekutunya dalam PR, susulan beberapa isu, termasuk hudud, yang cuba dilaksanakan parti Islam itu di Kelantan.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berpendapat, sekiranya PasMa berhasrat menyertai politik, PAS sudah pasti akan meninggalkan PR.

"Kalau PAS kekal dalam PR, PasMa tidak wujud. Kalau PAS keluar, PasMa muncul. Namun PasMa mungkin akan kekal sekurang-kurangnya sepenggal," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan (gambar, kanan) turut menyokong kenyataan itu, dan berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan menyediakan laluan mudah untuk PasMa bersama PR.

"Saya rasa tidak semudah itu. Yang menjadi ahli PR sekarang ialah PAS, dan presiden PAS sekarang ialah seorang yang berfikiran tertutup, seolah-olah tidak berminat untuk menjadikan PAS sebuah parti yang menerima semua pihak.

"Saya rasa selagi mana Hadi kekal sebagai presiden, dan jika PAS kekal dalam PR, sudah pasti kem beliau akan berusaha untuk memastikan PasMa tidak diterima masuk ke dalam PR," katanya.

Wan Saiful turut berkata, penyertaan PasMa dalam PR bagaimanapun mampu menjadikan pakatan pembangkang itu lebih bertenaga dengan idea progresif.

"PR memerlukan suntikan idea yang progresif. Dan jika dilihat bentuk PasMa sekarang, maka saya rasa sumbangan yang akan diberikan adalah positif," katanya.

Pengarah Pusat Inisiatif Polisi, Dr Lim Teck Ghee (gambar, kiri) bagaimanapun berpendapat, berbanding PAS, PasMa dijangka mampu mendapatkan sokongan rakyat Malaysia yang sederhana, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

"PAS akan melihat ahlinya yang terdiri daripada mereka yang bersifat sederhana dan pemimpin intelek dan akar umbi akan berkurangan. Parti itu terpaksa mendapatkan sokongan Umno untuk terus kekal," katanya, mengulas kemungkinan PasMa bakal menjadi ancaman buat PAS.

"Saya menjangkakan pembentukan politik baharu untuk pembangkang, dan sudah pasti generasi muda akan menerimanya."

Pengarah Institut Asia Universiti Tasmania Prof James Chin berpendapat, PasMa akan menjadi parti politik sekiranya muktamar tahunan PAS yang dijadualkan Jun depan menyaksikan Hadi kekal sebagai presiden.

"PasMa perlu wujud untuk memberikan platform kepada mereka yang percayakan PR. Buat masa ini, Hadi dan 'gengnya' tidak mementingkan sama ada PR akan kekal atau tidak, sebaliknya lebih tertumpu kepada pembentukan negara Islam," katanya.

Beliau bagaimanapun melihat, situasi berkenaan berbahaya buat pembangkang, kerana berkemungkinan PAS akan bersama Umno dan BN dalam politik.

"PKR dan DAP sudah pasti akan menyokong PasMa jika Hadi kekal," kata Chin.

"PasMa juga perlu menukar namanya, jika mahu mendapatkan sokongan penyokong PAS yang sederhana," katanya. – 30 April, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pasma-bakal-ulang-sejarah-parti-serpihan-pas-jika-sertai-politik-kata-penga#sthash.qfAtStRd.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...