TERKINI :

Saturday, March 21, 2015

Umno tersilap kira, Pakatan masih hidup

TIMMY SAY

UMUM mengetahui Pas memperjuangkan hudud, DAP membantah hudud dan Umno pula tidak pernah mahu melaksanakannya di mana-mana negeri yang ditadbir mereka setelah hampir 60 tahun menjadi kerajaan Malaysia.

Masalah terbesar Pakatan sudah selesai. Hudud yang Pakatan setuju untuk tidak bersetuju tidak lagi dibenamkan. Duri di antara Pas dan DAP kini sudah dicabut.

Seperti mana biasa, pengeluaran duri akan menyebabkan sedikit sebanyak ada pihak yang terluka.

Kini duri ini berada di antara MCA, Gerakan dan Umno kerana Umno tiba-tiba menyokong hudud. Biarlah pula BN pening dengannya.

Pakatan sudah memikul isu ini terlalu lama. DAP pun sudah mengamuk sebegitu lama. Semua tahu DAP tidak setuju.

Tapi tak ramai yang tahu MCA dan Gerakan berani untuk tidak bersetuju dengan Umno. Apakah MCA dan Gerakan berani melanggar Umno sebagaimana DAP menekan Pas? Kita tunggu dan lihat.

Akan tetapi, DAP jangan pula terlebih marah. Umno mengambil risiko tertentu menyokong hudud yang diperjuangkan Pas adalah untuk melihat Pakatan pecah.

Mengapa Umno beranggapan hudud boleh memecahkan Pakatan? Semua ini kerana DAP yang terlalu berkeras dalam isu hudud sehingga timbul persepsi bahawa menghalang hudud adalah jauh lebih penting daripada melangkah masuk ke Putrajaya.

Sebenarnya waktu inilah Pakatan kena eratkan hubungan. Pas dan DAP sudahpun menghantar mesej yang jelas kepada rakyat mengenai pendirian mereka. Di dalam Pakatan, Pas dan DAP, sama kuasa, tiada siapa yang tunduk pada siapa.

Dengan janji hudud tertunai di Kelantan, perbezaan terbesar antara Pas, DAP dan PKR sudah hilang. Yang tinggal antara mereka ialah persamaan yang teramat luas medannya.

Dengan agenda hudud yang sudah selesai, Pas kini lebih ringan bagasinya untuk bergerak bersama rakan-rakannya di dalam Pakatan Rakyat.

Percayalah, selesainya isu hudud, semangat Pas yang ada sekarang ini adalah seperti semangat parti ini sebelum berlakunya Langkah Kajang.

Kini bola di kaki DAP dan Pas: Apakah mereka ingin melihat Umno ditumbangkan? Mereka perlu membuat keputusan sama ada ini adalah cita-cita tertinggi mengatasi perkara lain. Jika ya, Pakatan Rakyat perlu kekal.

Ramai menuduh Pas lebih mementingkan cita-cita menjayakan hudud daripada ke Putrajaya. Tapi, situasi ini sudah menjadi terbalik.

Jika Pakatan pecah, siapa pula yang lebih mementingkan cita-cita menghalang hudud daripada hasrat ke Putrajaya?

Soalan ini sudah boleh ditanya sebegitu rupa kerana Umno kini juga menyokong hudud.

Ini bermakna MCA dan DAP dalam situasi yang sama. MCA tidak boleh lagi terus menekan DAP dalam isu hudud kerana Umno juga menyokongnya. Isu politik yang DAP takut digunakan MCA untuk menyerang mereka juga telah hilang.

Kalau BN tak pecah, mengapa PR harus pecah? Dalam isu hudud, Umno tersilap kira kerana Pakatan masih hidup pada hari ini.

Cuma, apakah DAP akan menyebabkan Umno terbetul kira? Sama-sama kita tunggu Isnin ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...