TERKINI :

Friday, March 13, 2015

Selangor teruskan projek Langat 2 jika pemaju patuh syarat, kata exco

Published: 13 March 2015 11:57 AM

Kos yang tinggi bagi penstrukturan air di Selangor akan memberi kesan kepada pengguna hingga menyebabkan kadar tarif menjadi tinggi dan pengguna akan menanggung kesannya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mac, 2015.
Kos yang tinggi bagi penstrukturan air di Selangor akan memberi kesan kepada pengguna hingga menyebabkan kadar tarif menjadi tinggi dan pengguna akan menanggung kesannya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mac, 2015.

Kerajaan negeri Selangor akan meneruskan projek Langat 2 sekiranya pemaju mematuhi syarat yang sudah ditetapkan dan kos projek tidak meningkat terlalu tinggi, kata Zaidy Abdul Talib.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani itu berkata, syarat yang perlu dipatuhi adalah seperti pengambilan tanah dan kelulusan kebenaran merancang, kelulusan kerja tanah, kelulusan bangunan dan lain-lain.

“Kerajaan negeri juga menitikberatkan aspek ketelusan dalam melantik syarikat dengan cara tender terbuka serta teknologi yang diguna pakai tidak menyebabkan kos projek menjadi sangat tinggi.

“Kos yang tinggi boleh memberi kesan kepada pengguna hingga menyebabkan kadar tarif menjadi tinggi. Kita tidak mahu pengguna akan menanggung kesannya,” katanya kepada Sinar Harian.


Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mengumumkan pada Isnin perjanjian induk penstrukturan air antara kerajaan negeri dan pusat yang sudah berakhir tidak akan dilanjutkan selepas penangguhan dibuat kali kedua.

Katanya, Putrajaya “melanggar terma” perjanjian ditandatangani pada September tahun lepas menyebabkan Selangor tiada pilihan lain.

"Apabila saya menjadi menteri besar September tahun lalu, saya bersedia untuk meneruskan perjanjian. Tetapi kerajaan persekutuan gagal memenuhinya, bahkan meminta lanjutan tempoh.

“Apa pilihan yang kita ada? Saya mahu melihat syarat baru yang mereka ingin bincangkan dengan kerajaan negeri,” kata Azmin ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan penstrukturan semula industri air perlu diteruskan namun tidak melebihi RM9.65 bilion seperti yang dipersetujui sebelum ini. ‎

Katanya, jika harga yang ditawarkan melebihi jumlah tersebut maka ia seolah-olah merompak hasil kekayaan rakyat untuk mengayakan syarikat konsesi yang tamak.

"Saya menyeru kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor untuk menyelesaikan sebarang pertikaian bagi memastikan perjanjian utama penyusunan semula industri air Selangor yang ditandatangani pada tahun lalu dapat diteruskan.

"Kegagalan meneruskan perjanjian itu akan membawa banyak kesan antaranya risiko kerajaan Selangor hilang peluang untuk mengambil alih ekuiti empat syarikat konsesi air yang selama ini mengaut keuntungan tidak munasabah di atas kesusahan rakyat yang terpaksa menanggung tarif air yang tinggi.

"Tanpa kawalan sepenuhnya terhadap industri air, kerajaan Selangor kemungkinan besar tidak mampu meneruskan pemberian air percuma 20 meter padu setiap bulan yang dilaksanakan sejak Jun 2008 kerana kekurangan dana," katanya dalam satu kenyataan hari ini. – 13 Mac, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/selangor-teruskan-projek-langat-2-jika-pemaju-patuh-syarat-kata-exco#sthash.r7raa3Tg.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...