TERKINI :

Sunday, March 22, 2015

PKR : Hudud sandiwara Umno perangkap PAS

 
Sandiwara yang dimainkan Umno untuk memerangkap PAS mengenai isu hudud semakin menjadi-jadi walaupun Enakmen Kanun Jenayah Shariah Kelantan diluluskan pada 19 Mac 2015 yang lalu.

Dalam mesyuarat jemaah menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak minggu lalu, laporan mengenai keputusan mesyuarat itu berbeza-beza mengikut sumbernya.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan menyatakan bahawa Najib menentang rang undang-undang persendirian (kuasa mahkamah syariah) yang bakal dibawa oleh presiden PAS tidak lama lagi.

Malah, Liow Tiong Lai berkata perdana menteri akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu secepat mungkin.

Sehingga kini, tidak ada satu pun kenyataan yang dikeluarkan Najib mengenai pendirian beliau dan Umno apabila rang undang-undang persendirian itu dibentangkan.

Malah, tidak ada pengesahan pun bahawa rang undang-undang persendirian itu boleh dibentangkan dalam sidang kali ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri yang bertanggungjawab menyusun rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen menyatakan semalam bahawa besar kemungkinan rang undang-undang persendirian yang mahu dibawa presiden PAS itu tidak sempat untuk dibentangkan kerana agenda parlimen kali ini telah sarat dengan rang undang-undang yang dibawa kerajaan.

Sandiwara ini berterusan lagi di media yang rapat dengan Umno dan BN. Akhbar Sinar Harian memuatkan di muka depan bagaimana Umno menyokong penuh pelaksanaan hudud dengan tajuk “BN Sokong Hudud”.

Pendirian berubah-ubah

Pada hari yang sama, saya dimaklumkan akhbar Sinchew Daily memuatkan laporan di muka hadapan bagaimana Najib menolak pelaksanaan hudud.

Pendirian Umno berubah-ubah mengikut pengundi sasaran mereka.

Ini adalah rentetan sandiwara demi sandiwara Umno untuk memecahkan Pakatan Rakyat dengan menggunakan isu hudud.

Rang undang-undang persendirian (kuasa mahkamah syariah) yang ingin dibawa presiden PAS itu hanya boleh dibentangkan dengan persetujuan Najib.

Malah, dengan semua parti selain Umno di Parlimen telah menyatakan pendirian masing-masing mengenai rang undang-undang persendirian tersebut, jika ia dibenarkan dibawa rang undang-undang persendirian (kuasa mahkamah syariah) itu hanya akan lulus jika semua 88 ahli Parlimen Umno mengundi untuk menyokongnya.

Sebab itu saya cabar presiden-presiden parti-parti komponen BN (MCA, MIC, Gerakan, PBB, PBS, UPKO, SUPP, PRS, SPDP, PPP dan LDP) yang telah menyatakan bangkangan kepada rang undang-undang persendirian itu untuk mendapatkan pendirian Najib Razak dan timbalan beliau Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam bentuk bertulis secepat mungkin.

Jika kesemua presiden-presiden parti-parti komponen BN ini gagal mendapatkan pendirian Najib dan Umno menjelang Selasa ini, lebih bermaruah jika mereka membubarkan sahaja parti masing-masing kerana jelas telah dibuli dan diperlekehkan oleh Umno dalam permainan sandiwara mengenai hudud.

Jelas parti-parti mereka tidak bernilai jika dibandingkan dengan kerjasama di antara Umno dan PAS dalam perkara ini.


RAFIZI RAMLI  naib presiden dan setiausaha agung PKR serta anggota Parlimen Pandan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...