TERKINI :

Sunday, March 22, 2015

PAS perlu mengenali siapa rakan sebenar



Mungkin PAS ‘melatah’ ekoran daripada ‘geletek’ UMNO yang mahu bekerjasama dalam menegakkan hukum Hudud di Kelantan. Dan telahpun dibuktikan oleh BN (UMNO) tentang hakikat demikian apabila kesemua ADUN UMNO menyokong cadangan PAS. Samada sokongan BN (UMNO) itu tulin atau hanya mainan politik hanyalah mereka yang terlibat sahaja yang tahu. Ataupun mungkin mereka telahpun awal-awal mendapat ‘arahan’ daripada Puterajaya supaya ‘berlakon’ sedemikian rupa demi untuk melihat perpecahan dalam Pakatan Rakyat. Mungkin.

Kepimpinan UMNO sedar dan amat faham bahawa ‘Hudud’ adalah merupakan ‘soft spot’ parti PAS terutamanya kepimpinan ulama mereka. ‘Hudud’ adalah merupakan perjuangan ‘hidup mati’ parti PAS dan mungkin ‘perjuangan hidup mati’ ahli PAS itu dianggap sesuatu yang tulin. Namun mengenali UMNO yang penuh dengan tektik politk dan strategi, ramai yang merasa sangsi tentang ketulinan kerjasama yang dijalinkan demi untuk melaksanakan Hudud itu. Dan sehingga kini DS Najib atau kepimpinan tertinggi UMNO lain belum pun membuat apa-apa keputusan dan pendirian mengenai Hudud ini. Dan sekirannya berdasarkan kepada keputusan UMNO yang telah lalu sememangnya mereka belum bersedia menerima Hudud.

Satu hal yang amat jelas yang berkemungkinan tidak akan dapat dilaksanakan hukum Hudud di negara ini ialah jika ditinjau dari segi kedudukan perlembagaan negara. Jelas dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa undang-undang negeri mestilah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 75 menyatakan, undang-undang negeri yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal dengan sendirinya. Maknannya perlu mendapat kelulusan di peringkat parlimen terlebih dahulu. Maknanya tentulah tidak mudah untuk mendapat persetujuan kesemua anggota parlimen terutama wakil bukan Islam.

Sepatutnya sebelum ucapan yang ‘berapi-rapi’ dan ‘ratap tangis’ di DUN Kelantan (baru-baru ini) apabila membahaskan tentang Hukum Hudud, ADUN seeloknya terlebih dahulu mengkaji implikasi keputusan yang dibuat di DUN berkenaan. Mentadbir negeri atau negara bukan boleh merupakan langkah ‘syok sendiri’ berdasarkan sentimen dan emosi kerana negara kita mempunyai perlembagaan dan undang-undang yang telah dirangka dengan penuh berhati-hati oleh pemimpin kita yang terdahulu.

PAS pernah dikecewakan oleh UMNO dalam tahun 1977. Mungkin pemimpin muda dalam PAS tidak tahu ‘penangan’ UMNO ketika mengadakan kerjasama dengan PAS pada tahun berkenaan. TG Nik Aziz amat tahu dan faham hal sebegini. Dan dengan sebab beliau benar-benar tahu ‘perangai’ UMNO itulah yang telah menyebabkan arwah TG Nik Aziz seolah-olah ‘berkerat rotan dan berpatah arang’ dengan UMNO. Dan kemungkinan munculnya keghairahan yang luar biasa untuk bekerjasama dengan UMNO oleh kepimpinan PAS (khususnya golongan ulama) kini berpunca daripada ‘kejahilan’ mereka tentang tektik dan tindak tanduk politik UMNO.

Yang jelasnya kini ialah apa yang dilakukan oleh PAS itu sudah dapat dilihat oleh rakan dalam Pakatan Rakyat sebagai ‘mata berpandangan budi kedapatan’. Apa tidaknya segala kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin PAS berkaitan dengan Hudud sudah boleh ‘menusuk ke jantung hati’ siapa yang termakan cili dan akan terasa pedasnya.

Kenyataan TG Haji Hadi yang merasakan bahawa dia lebih mementingkan wawasan akhirat daripada wawasan dunia sudah melambangkan bahawa tindakannya itu ibarat ‘membujur lalu melintang patah’. Ditambah pula dengan kenyataan daripada YAB Menteri Besar Kelantan yang terang-terang menyatakan bahawa sesiapa yang tidak menyokong Hudud adalah golongan yang tidak beriman. Dan jelas juga ditujukan kepada rakan dalam Pakatan ia itu PKR dan DAP khususnya dan rakyat yang beragama Islam umumnya.

Dengan tindakan yang dilakukan oleh PAS seolah-olah sudah jelas ‘sekilas ikan diair sudah diketahui jantan betinanya’. Kelihatan dengan jelas juga bahawa seolah-olah PAS tidak begitu peduli ‘hati dan perasaan’ rakan dalam Pakatan. Seolah-olah rakan dalam Pakatan tidak begitu penting berbanding dengan ‘rakan baru’ yang menampakkan lebih akrab. Lagipun apa yang telah berlaku berkaitan dengan kenyataan dan tindakan TG Haji Hadi ‘melukakan’ hati dan perasaan Dr Wan Azizah ketika berlaku kemelut politik Selangor masih segar dalam ingatan rakan-rakan dalam Pakatan. Dan tindakan yang mirip sebagai sabotage kepada calon tajaan PKR ( Dr Nasir ) di ADUN Subang dalam PRU 13 yang lalu juga masih segar dalam ingatan juga. Kesemua ini menampakkan seolah-olah ‘langkah-langkah awal’ kepimpinan PAS terutama Presidennya sendiri untuk tidak begitu ‘mementingkan menjaga hati kawan’. Seolah-olah beliau berkata,’ apa nak jadi, jadilah…” Mungkin aku tersilap.

Isu hubungan DAP-PAS adalah merupakan isu ‘duri dalam daging’. Dan sekiranya dilihat dalam konteks parti Pakatan Rakyat pula ia merupakan isu yang membabitkan Pakatan Rakyat juga terutama setelah Anwar Ibrahim tidak berada bersama-sama. Sepanjang kewujudan Pakatan Rakyat kelihatan PAS hanya akan bersama dan ‘berbaik-baik’ dengan komponen dalam Pakatan sekiranya ‘prsahabatan’ demikian menguntungkan mereka. Tetapi sekiranya mereka merasakan bahawa ‘persahabatan’ itu tidak menguntungkan mereka, maka tindakan mereka tidak seperti ‘cubit peha kanan, peha kiri terasa sakitnya’.Nampak semacam begitu.

Aku tidak mempunyai bukti jelas tetapi umumnya sebagaimana yang dapat aku lihat kepimpinan ulama dalam PAS sememangnya tidak secocok dengan perjuangan Pakatan Rakyat khususnya DAP. Aku tidak pula menyalahkan mereka yang menyebabkan keadaan terjadi sedemikian. Ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan mereka merasa ‘terasing’ dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, terutamanya dengan DAP. Seolah-olah ‘Persahabatan’ yang dijalinkan buat sementara waktu itu hanya untuk kepentingan untuk memenangi pilihanraya semata-mata. Boleh juga diibaratkan seperti ‘melepaskan batuk di tangga’.

Namun begitu telah terbukti bahawa dengan adanya kerjasama antara PKR,DAP dan PAS telah sedikit sebanyak memberikan harapan untuk menumbangkan BN pada pilihanraya akan datang. Telah dibuktikan kejayaanya pada PRU 13 yang lalu. Atas perkiraan sedemikian jugalah agaknya maka BN bersungguh-sungguh benar untuk memecahkan perpaduan Pakatan Rakyat itu walau dengan apa cara sekalipun.

Dan PAS kena berfikir panjang-panjang untuk memilih ‘rakan’ seperjuangan. Kepada kepiminan PAS (terutama kepimpinan ulamanya) “Tepuk dada tanya iman’. Orang tua-tua kata,’ tepuk dada tanya selera’.

abuhassanadam
21 Mac 2015

PANAS !! PANAS !!
http://onlinenews2c.blogspot.com/2015/03/will-obama-assist-democracy-in-malaysia.html

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...