TERKINI :

Saturday, March 14, 2015

Pas gesa fatwa GST disemak semula

SHAH ALAM - Pas menggesa agar fatwa keharusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan disemak semula.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, GST tidak menepati tiga syarat harus dalam Islam.

Menurutnya, syarat pertama cukai dibenarkan adalah negara dalam keadaan terdesak dan benar-benar memerlukan.

"Semakan belanjawan negara menunjukkan kerajaan ada sumber lain yang boleh dioptimumkan bagi menambah hasil pendapatan dan jelas kerajaan tidak terdesak," katanya.

Menurutnya, keperluan mendesak itu harus berlaku bukan kerana ketirisan dan pemborosan dalam perbelanjaan.

"Realitinya, kerajaan masih boros dalam berbelanja sehingga negara mengalami defisit 18 tahun berturut-turut.

"Semakan Laporan Audit Negara, dianggarkan antara RM23 bilion hingga RM40 bilion ketirisan pengurusan perbelanjaan tiap tahun," kata Ahli Parlimen Kuala Nerus itu. Dr Mohd Khairuddin berkata, syarat ketiga adalah cukai berkenaan hanya perlu dikenakan kepada golongan mampu.

"GST dikenakan berasaskan perbelanjaan dan perkhidmatan bukannya berasaskan pendapatan menyebabkan rakyat yang tidak ada lebihan pendapatan boleh guna terpaksa membayarnya," katanya.

Menurutnya, contoh yang paling mudah rakyat yang mengeluarkan wang menggunakan kad bank ATM berbeza (Meps) dikenakan caj 6 sen GST selain RM1 caj perkhidmatan Meps.

Beliau menyatakan kesediaan jika dipanggil Jawatankuasa Fatwa bagi pandangan syarak terhadap GST.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...