TERKINI :

Friday, March 6, 2015

Harap ada khabar MH370 selepas setahun hilang


KUALA LUMPUR - Beberapa hari menjelang genap setahun kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, syarikat penerbangan itu terus menaruh harapan bahawa misi pencarian dan penyiasatan dapat merungkai misteri kehilangannya dan mencari jawapan yang ditunggu-tunggu selama ini.

MAS akan memperingati ulang tahun pertama dengan program khas tertutup di pinggir Kuala Lumpur yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga anak kapal MH370 dan kakitangan MAS.

"Kami mengambil kesempatan ini untuk memperingati rakan-rakan dan sahabat dalam pesawat malang itu...keluarga anggota-anggota anak kapal telah melahirkan hasrat bahawa program untuk mengenang pemergian orang tersayang yang mereka sertai adalah secara tertutup.

"Kami akan menggunakan peluang ini untuk mengingatkan diri kami dan pihak berkuasa berkaitan mengenai obligasi - tugas dan kewajipan moral - untuk meneruskan usaha mencari jawapan dan merumuskan kesimpulan yang muktamad," kata MAS dalam dalam satu kenyataan.

Pesawat Boeing 777 MAS itu membawa 239 orang apabila hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac, 2014.

MAS kehilangan 12 anak kapal serta seorang kakitangan MASkargo.

Pada 29 Januari lalu, kerajaan Malaysia secara rasmi mengisytiharkan insiden itu sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan bahawa kesemua 239 orang yang menaiki pesawat dianggap telah terkorban.

Ketika membuat pengumuman itu, kerajaan Malaysia juga menegaskan bahawa usaha mencari pesawat itu tetap menjadi keutamaan.

Mengetahui bahawa tidak semua kakitangan dapat menghadiri program perjumpaan tertutup Ahad ini, MAS berkata ia akan mengedar pin batik kepada kakitangannya sebagai tanda mengingati pemergian rakan-rakan.

"Kami juga mengeluarkan lencana digital dengan reka bentuk yang sama dan hashtag "Always in my heart"," kata MAS yang kini melaksanakan pelan pemulihan bagi menyelamatkan masa depan syarikat penerbangan itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...