Hanipa Maidin 

SHAH ALAM - Tindakan menegur Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat merupakan perkara biasa yang berlaku dalam parti itu, kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamed Hanipa Maidin.

Beliau turut menegaskan, amalan tersebut tidak pernah dilarang oleh parti.

"Jika sekalipun ada laporan yang menyatakan saya menegur Presiden Pas dalam mesyuarat.

“Ia bukan suatu yang luar biasa kerana Pas tidak pernah melarang mana-mana ahli jawatankuasa Pas Pusat menegur Presidennya,” katanya.

Beliau berkata, ahli di bawah mempunyai hak seperti juga Presiden Pas, dalam menegur mana-mana orang di bawahnya.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman berada dalam Pas, Presiden parti itu masih boleh menerima kritikan pedas terhadap dirinya.

"Berdasarkan pengalaman saya dalam Pas Pusat saya dapati Presiden masih boleh menerima kritikan sepedas sekalipun ke atas dirinya dan saya tidak nampak sikap beliau itu sudah berubah.

"Jika ada mana-mana pihak dalam Pas yang merasakan kritikan seperti ini tidak dibenarkan, saya percaya ini bukan dari ajaran Islam dan menyimpang daripada apa yang Pas amalkan selama ini," katanya.

Melalui kenyataan sama, beliau menjelaskan soal perkara berkait di mana wujud dakwaan beliau dipukul Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, Hanipa menafikan kejadian itu.

"Jika presiden boleh menerima kritikan maka adalah tidak masuk akal Presiden Pas akan merestui

dan membiarkan amalan memukul AJK Pusat jika kita mengandaikan sekalipun spekulasi yang saya nyatakan di atas adalah betul.

"Mengenai dakwaan kononnya saya dipukul oleh Pesuruhjaya Pas Perak saya tidak tahu dari mana datangnya sumber berita itu. Haji Razman adalah kawan baik saya, jadi, mana mungkin dia akan tergamak untuk memukul saya," katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Hanipa dipukul dua kali di belakang dalam mesyuarat Pas oleh Razman.