TERKINI :

Thursday, February 12, 2015

Suasana Harga Barang - ‘Pi mai, pi mai, tang tu jugak’

ABD JALIL ALI

http://www.beritasemasa.com.my/wp-content/uploads/2014/10/Harga-Barang-Naik-2015.jpg
DI tengah-tengah keresahan orang ramai mengenai kenaikan harga barang, Datuk Seri Hasan Malek memberitahu satu berita baik.

Seperti yang dilaporkan media semalam Menteri Perdagangan Dalam Negeri itu berkata, 25 jenis barangan keperluan turun kurang dari satu peratus hingga 18 peratus bagi tempoh Julai 2014 hingga Januari tahun ini.

Seperti yang dinyatakan, ayam bersih standard yang dijual pada harga RM7.33 sekilogram Julai lepas kini boleh didapati dengan harga RM6.73. Turut mencatatkan penurunan ialah kepak ayam (18.25 peratus); limau mandarin (16.50 peratus); udang putih ternak (2.01 peratus); ubi kentang (6.17 peratus); Beras Cap Rambutan Super Special Tempatan (0.12 peratus) dan bawang kecil merah import (China) (4.94 peratus).

Tentu sekali fakta-fakta yang dinyatakan itu berdasarkan kajian terperinci, bukan hentam keromo untuk melegakan pengguna. Tetapi, perangkaan selama tempoh enam bulan itu mungkin tidak disedari oleh orang ramai, lebih-lebih lagi untuk penurunan yang kurang dari satu peratus.

Sebaliknya, apa yang sebenar dirasakan oleh orang ramai sekarang ialah harga barangan lebih tinggi atau kekal pada kadar biasa, sedangkan harga bahan bakar sudah beberapa kali turun, sejak kerajaan melaksanakan pengapungan harga mulai 1 Disember lalu.

Penurunan terkini bahan bakar ialah pada 1 Februari yang menyaksikan minyak RON95 dijual pada harga RM1.70 (turun 21 sen) seliter, RON97 RM2 (11 sen), diesel RM1.70 (23 sen). Tiga kali harga minyak turun dalam tempoh dua bulan, logiknya harga barang lain pun patut turun.

Harapan orang ramai, khasnya suri rumah yang ke pasar setiap hari, ialah apabila minyak turun, barangan dan perkhidmatan lain ikut turun. Hujah mereka mudah: apabila harga minyak naik, walaupun setengah sen, harga barangan lain terus naik serta-merta.

Kerap kali pula kenaikan harga barang tidak seimbang dengan kenaikan petrol dan diesel. Contoh: petrol naik 10 sen seliter, teh tarik dan roti canai naik 10 sen segelas/sekeping.

Kini musim harga minyak jatuh, sepatutnya harga barang pun ikut jatuh. Lebih bagus lagi sekiranya, minyak turun 10 sen seliter, teh tarik dan roti canai turun 10 sen segelas/sekeping.

Sayang sekali sudah tiga bulan harga minyak turun, harga barang tetap tidak turun. Tambang bas sekolah kekal, malah ada ura-ura akan naik. Kadar tambang bas ekspres, teksi dan lain-lain pengangkutan awam masih tidak turun.

Barang keperluan harian seperti ikan, daging, ayam, sayuran dan rempah ratus lain, semua tidak turun.

Sudahlah tidak turun harga, saiznya pula semakin tipis dan mengecil. Makanan kegemaran rakyat, roti canai, harga kekal pada kadar lama, tetapi ukuran semakin kecil.

Dulu penuh pinggan, kini ruang pinggan banyak kosong. Sudahlah kecil, tipis pula, ringan dan lut sinar. Itulah nasib roti canai kita!

Mi goreng, kuey teow, rojak, nasi lemak, pisang goreng, apam balik, dan banyak lagi makanan rakyat biasa, semuanya ukuran lebih kecil dan lebih ringan. Pergilah ke mana-mana warung dan restoran inilah hakikat yang terpaksa diterima, walaupun minyak sudah turun harga.

Persatuan-persatuan pengguna sudah memulakan kempen memboikot peniaga. Menteri pun sudah menyeru rakyat supaya jangan membeli sekiranya harga mahal. Hassan sudah mengadakan pertemuan dengan pengilang dan pengedar. Berbagai-bagai kaedah penurunan harga telah dicadangkan.

Pendek kata semenjak penurunan harga minyak 1 Disember lalu, sudah banyak sangat ‘ding-dong-ding-dong’ dari berbagai-bagai pihak. Tetapi sebahagian besar barangan dan perkhidmatan masih tidak turun harga. Minyak naik, barang cepat naik. Tetapi minyak turun, barang tidak mahu turun.

Menteri kata: “Kerajaan memandang serius terhadap penurunan harga yang sewajarnya oleh industri ekoran daripada penurunan harga runcit petroleum.” Tetapi, sampai saat ini barang tetap tidak turun-turun.

Asyik berding-dong-ding-dong, akhirnya – manalah tahu! – sebulan dua lagi harga minyak naik semula. Maka apabila minyak naik, harga barang akan segera naik, tanpa banyak ding-dong-ding-dong.

Pendek kata sama ada minyak naik atau minyak turun, pengguna khasnya rakyat berpendapatan rendah, sentiasa – dan terpaksa – menerima kepahitan kenaikan harga.

Cakap banyak, dialog banyak, teori banyak, orang biasa tetap membayar lebih sebab harga tidak turun. Sepatah kata orang Tanjung: “Pi mai, pi mai, dok tang tu jugak!”

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...