TERKINI :

Tuesday, February 17, 2015

Setelah Niatnya Dicurigai, Tetapkah UMNO Tidak Mahu Bertanding di Dun Chempaka?

oleh Shahbudin Husin,

http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/2011/march/27/umno0810.jpg
Beberapa pemimpin UMNO seakan bersetuju parti itu tidak perlu meletakkan calon di Dun Chempaka yang terpaksa diadakan pilihanraya kecil berikutan kematian Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat baru-baru ini.

Alasan yang diberi ialah kerana banjir baru saja melanda negeri itu dan memerlukan UMNO dan Pas terus bekerjasama membantu rakyat dalam pelbagai program bantuan yang sudah diatur.

Alasan lain ialah kononnya sebagai penghormatan kepada Nik Aziz yang baru meninggal dunia. Baru disedari rupanya oleh kebanyakan pemimpin UMNO melalui reaksi mereka bahawa Nik Aziz adalah pemimpin agama yang hebat, banyak menyumbang kepada Islam dan mencorakkan sebahagian politik negara itu.

Maka itu, kata ramai pemimpin UMNO, sebagai suatu penghormatan, tiada keperluan meletakkan calon di Dun Chempaka yang merupakan "kerusi kebal" bagi Nik Aziz sejak puluhan tahun dulu.

Jangan salah faham, UMNO bukan takut kalah atau bimbang undinya lebih merosot lagi, tapi kerana sayang dan kasih kepada Tok Guru Nik Aziz. Tapi Ibrahim Ali pun tak percaya hakikat ini....

Tidak salah untuk UMNO memberi penghormatan kepada Nik Aziz walau dalam apa apa sekali pun. Beliau dihormati dan disanjung ramai kerana peribadi, zudud dan ketinggian ilmu agamanya sehingga terus tinggal di rumah papan milik peribadinya hingga ke akhir hayatnya. Hampir tiada pemimpin masa kini sehuzud beliau.

Penghormatan kepadanya datang daripada seluruh dunia dan dari pelbagai kelompok sehingga Tengku Mahkota Pahang sendiri mengarahkan seluruh masjid di negeri itu mengadakan majlis tahlil untuk kesejahteraan rohnya.

Dengan sokongan rakyat kian merosot berikutan pemenjaraan Anwar, tentulah UMNO ingin tumpang semangkuk dengan kematian Nik Aziz ini. Mana tahu dengan turut memberi penghormatan, menyanjung dan tidak bertanding di Dun Chempaka, kekurangan dan lompong sokongan rakyat dapat diperbaiki.

Tetapi UMNO tetap sebuah parti politik. Walau lurus, tidak mustahil kelingkingnya berkait. Di sebalik batu, mungkin ada sepit ketam sedang menunggu. Di balik rumput, barangkali ada ular tedung sedang bersembunyi.

Sebab itu, Pas terang-terang menolak sikap baik yang ditunjukkan oleh UMNO ini. Pengarah Pilihanraya Pas, Dr Hatta Ramli berkata, jika betul hormat dan menyanjung Nik Aziz, sepatutnya sejak dari dulu lagi UMNO tidak meletakkan calon menentangnya.

Dr Hatta juga menyarankan jika UMNO tidak mahu meletakkan calon Dun Chempaka, mereka juga seharusnya berbuat tindakan sama di Permatang Pauh yang bakal kosong berikutan hukuman penjara lima tahun yang diterima Anwar Ibrahim.

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kayat pula menulis di Facebooknya, "UMNO tiba-tiba jadi baik dengan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz sampai tak nak bertanding di Chempaka. UMNO tiba-tiba pijak semut tak mati, boleh percaya ke?

Secara umumnya, pendirian kedua-dua pemimpin itu turut dikongsi oleh majoriti ahli dan pimpinan Pas dalam berhadapan dengan UMNO ketika ini.

Sebagai parti politik, Pas memang wajar bersikap dan berpendirian demikian. Bagi Pas tidak salah ingin menyanjung dan memberi penghormatan kepada Nik Aziz tetapi sampai sanggup tak mahu bertanding di Dun Chempaka kerana rasa hormat itu, itu sudah lain macam dan perlu berhati-hati.

Ia secara langsung menunjukkan Pas faham bahawa UMNO cuba menjurus ke arah politik di sebalik sikap baik yang ditunjukkan itu.

Soalnya, apakah UMNO mahu terus tidak bertanding juga di Chempaka setelah kelingking, sepit ketam dan ular tedungnya mula diperhati?

Jika UMNO faham dan ada maruah diri, mereka tidak akan bercakap lagi soal tidak mahu bertanding di Dun Chempaka kerana Pas jelas tidak percaya dan tidak menunjukkan keinginan untuk berbaik-baik. Hanya UMNO yang dalam kesempitan jadi "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong" sekarang ini. (SH 17/02/2015)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...